Rakyat marah jika subsidi petrol tak kena sasaran, kata penganalisis


Diyana Ibrahim

Kerajaan dijangka umum mekanisme pemberian subsidi bersasar bagi bahan api petrol dan diesel bulan depan bagi menggantikan subsidi pukal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari 2023.

KERAJAAN pimpinan Anwar Ibrahim berdepan risiko politik besar sekiranya agihan subsidi bahan api melalui mekanisme baharu tidak menepati sasaran, kata penganalisis.

Mereka memberi amaran, pengguna menanggung beban jika pengusaha dan pengeluar menaikkan harga barangan dan perkhidmatan apabila tidak lagi menerima subsidi pukal.

Ada juga yang melihat langkah pemberian subsidi bersasar itu tidak munasabah kerana subsidi ke atas bahan api diperlukan semua pengguna di setiap tahap ekonomi.

Amaran itu timbul sewaktu kerajaan dijangka mengumumkan mekanisme pemberian subsidi bersasar bagi bahan api petrol dan diesel seawal bulan depan bagi menggantikan subsidi pukal.

Seorang pengkaji tersebut, Ahmad Razman Abdul Latif memberitahu The Malaysian Insight, pengusaha yang tidak lagi menikmati subsidi bahan api tentunya akan menaikkan harga.

“Kalau kita lihat ia memang membantu dari segi jimat kos pengangkutan tapi golongan peniaga selepas ini tidak akan dapat subsidi.

“Yang kita khuatir akan berlaku peningkatan harga barangan dan perkhidmatan akibat kos operasi naik.

“Sebab itu kita tak nak situasi di mana golongan B40 menang dalam pemberian RON95 tapi kalah dari sudut lain,” kata pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia itu.

Oleh itu, subsidi bersasar perlu diperluaskan kepada golongan M40 yang turut terkesan dengan kenaikan kos sara hidup, katanya.

Jika tidak, rakyat akan kecewa terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan keadaan itu juga mengundang implikasi beban kewangan lebih tinggi sekiranya usaha penyaluran subsidi itu tersasar.

“Ada dua implikasi. Golongan (berpendapatan rendah) kekal hadapi kos sara hidup.

“Kalau (subsidi bersasar) tidak sampai, kerajaan kena lakukan intervensi terpaksa peruntuk lebih banyak subsidi dan beri beban kepada kewangan kerajaan.

“Jadi itu implikasi kepada pengguna dan pemberi. Dan ia turut mengundang kekecewaan rakyat. Sebab itu kerajaan kena pastikan pelaksanaan subsidi betul-betul berkesan dan efektif,” katanya.

Langkah itu tidak masuk akal kerana keupayaan kenderaan mengikut sesaran enjin tidak menggambarkan kemewahan seseorang individu, katanya.

“Tapi kalau untuk sektor berat, kilang logistik itu memang patutlah,” katanya.

Tambahnya rakyat akan marah jika kerajaan meneruskan pemberian subsidi mengikut keupayaan enjin kenderaan pengguna seperti dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Ia langkah yang akan mencetuskan kontroversi, akan jadi macam kerajaan PH semasa (pentadbiran) 22 bulan dulu. Kononnya nak buat dasar yang nampak efektif tapi tidak praktikal.”

Kerajaan pada awal minggu ini menjelaskan penerima subsidi bersasar itu akan ditentukan dengan pangkalan data bersepadu dan komprehensif membabitkan pelbagai agensi.

Ia antara lain melibatkan data Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain Jabatan Pengangkutan Jalan. – 2 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen