Kemboja rekod peningkatan tangkapan, rampasan dadah pada 2022


Kemboja tidak melaksanakan hukuman mati ke atas pengedar dadah terlarang. – Gambar fail AFP, 1 Januari, 2023.

KEMBOJA mencatatkan peningkatan bilangan orang yang ditangkap kerana dadah serta jumlah dadah yang dirampas pada 2022, lapor agensi berita Xinhua memetik laporan jabatan polis antidadah yang dikeluarkan pada Ahad.

Pihak berkuasa menahan 14,784 suspek berkaitan dadah tahun lalu, meningkat 7% berbanding 13,765 pada tahun sebelumnya dan 259 daripada tahanan tahun lalu terdiri warga asing dari sembilan negara.

“Sebanyak 14.5 tan pelbagai jenis dadah terlarang dirampas daripada mereka pada 2022,” menurut laporan itu.

Pada 2021, hanya 4.43 tan dadah terlarang dirampas.

Dadah yang dirampas tahun lalu antara lain termasuk heroin, ekstasi, ketamin, kokain, kristal methamphetamine, pil methamphetamine dan cathinone.

Negara Asia Tenggara itu tidak melaksanakan hukuman mati ke atas pengedar dadah terlarang.

Mengikut undang-undangnya, mereka yang didapati bersalah mengedar lebih 80 gram dadah terlarang boleh dihukum penjara seumur hidup. – Bernama, 1 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen