Johor mohon Putrajaya masukkan pembinaan PPR Larkin dalam RMK12


Berikutan peningkatan penduduk di Larkin, kerajaan Johor memohon Putrajaya menyenaraikan pembinaan PPR di Larkin dalam RMK12. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2023.

KERAJAAN Johor akan membuat permohonan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) Larkin di Johor Bahru disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Mohd Jafni Md Shukor berkata permohonan yang akan dibuat dalam masa terdekat itu disebabkan jumlah kepadatan penduduk di kawasan Larkin semakin meningkat dan terdapat permintaan tinggi terhadap pembinaan projek itu.

“Kita akan bagi dua cadangan untuk kos pembinaan yang boleh dipertimbangkan iaitu antara RM86 juta dengan RM150 juta. Bagi urusan teknikal, dokumentasi, tanah dan yang berkaitan, kerajaan Johor sudah selesaikan.

“Jadi kita berharap KPKT dapat mempertimbangkan permohonan pembinaan PPR Larkin ini memandangkan ia adalah satu-satunya PPR yang kita mohon untuk RMK12,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jom Turun @ PPR Sri Stulang dan Sri Iskandar di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat enam PPR di negeri ini yang masih dalam proses pembinaan iaitu PPR Pengerang, PPR Ulu Tiram, PPR Permas Jaya, PPR Masai, PPR Bandar Tenggara dan PPR Sembrong.

Sementara itu, Mohd Jafni menyeru 14,000 penyewa melibatkan 13 PPR dan tujuh Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di seluruh negeri supaya menjelaskan pembayaran sewa bulanan mulai bulan ini, selewat-lewatnya pada setiap 7 hari bulan.

Menurut beliau, ini kerana kerajaan negeri hanya memberi pengecualian pembayaran sewa PPR dan RSK selama dua tahun iaitu 2021 dan tahun lepas berikutan pandemik COVID-19.

“Kita menyasarkan RM24.9 juta bagi pungutan pembayaran sewa bulanan tahun ini dan kerajaan negeri tidak mengambil sebarang keuntungan kerana RM18 juta digunakan untuk kos penyelenggaraan,” katanya sambil menambah bayaran boleh dibuat secara dalam talian melalui Johorpay tanpa perlu ke kaunter bayaran Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ). – Bernama, 1 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen