Polis siasat ketulenan video pasangan Rusia panjat puncak Merdeka 118


Seorang daripada pasangan Rusia itu dilaporkan berkongsi gambar dalam laman web pada 26 Disember lepas memaparkan mereka berada di puncak menara Merdeka 118, sebelum ia tular menerusi media sosial dan beberapa platform lain. – Gambar tangkap layar video Reddit, 1 Januari, 2023.

POLIS sedang menyiasat ketulenan video tular yang memaparkan dua warga asing menceroboh dan memanjat puncak menara Merdeka 118, kata Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Yahaya Othman berkata pihaknya akan mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menentukan sama ada pasangan Rusia itu benar-benar memanjat bangunan kedua tertinggi di dunia itu.

“Kita sedang bekerjasama dengan SKMM mengenai kesahihan dan ketulenan rakaman video berkenaan yang ditularkan menerusi laman web Sky Scraper City Forum.

“Kita (juga) masih menunggu maklum balas daripada pihak JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) mengenai rekod kemasukan pasangan berkenaan ke negara ini,” katanya pada sidang media selepas Operasi Khas Malam Ambang Tahun Baharu 2023 di Jalan Loke Yew, awal pagi tadi.

Gambar-gambar yang kononnya memaparkan Ivan Beerkus dan Angela Nikolau memanjat menara bangunan itu telah dimuat naik di internet dan dikongsi semula di Reddit pada 28 Disember lepas.

Ia dengan cepat menimbulkan persoalan mengenai pengaturan keselamatan Menara 118 itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya mengesahkan laporan telah diterima berhubung isu berkenaan.

Katanya Bukit Aman telah menerima satu laporan mengenai perkara itu.

Dalam pada itu Yahaya berkata polis tidak menolak kemungkinan video itu diubah suai secara digital oleh pasangan itu.

“Kita tidak menolak kemungkinan rakaman itu dihasilkan dengan kesan teknologi terkini tanpa perlu berada di menara berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, pihak pengurusan PNB (Permodalan Nasional Berhad) menyatakan bahawa sistem kawalan ketat yang dibuat di seluruh kawasan menara itu menyukarkan pihak tidak berkenaan untuk masuk sekali gus memanjat menara berkenaan.

“Bagaimanapun, pihak polis harus menunggu hasil siasatan yang dibuat selepas merujuk kepada SKMM dan JIM,” katanya seperti dipetik media. – 1 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen