KEBAKARAN besar yang berlaku di sebuah kasino di Kemboja yang mengorbankan 26 orang disebabkan oleh kerosakan elektrik, kata pihak berkuasa semalam.
Dalam kejadian kebakaran itu ramai mangsa ditemui di tangga atau terperangkap di dalam bilik selepas penyelamat gagal menemui mereka.
Kebakaran di hotel-kasino Grand Diamond City di bandar Poipet berhampiran sempadan Thailand berlaku kira-kira jam 11:30 malam (waktu tempatan) pada malam Rabu lalu.
Kebakaran merebak di kompleks hotel kasino bertingkat dengan pelbagai imej dramatik dan penyelamat memberitahu orang ramai terpaksa melompat bagi menyelamatkan diri.
“Kemalangan itu berpunca daripada litar pintas elektrik,” kata Kun Kim, timbalan pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan Bencana.
Beliau mengesahkan 26 orang yang mana seramai 17 warga Thailand, seorang warga Malaysia, dan seorang warga Nepal maut dalam kebakaran itu.
“Ada yang melecur hingga meninggal dunia, ada yang maut kerana kekurangan oksigen dan ada yang melecur dan meninggal dunia di sepanjang jalan keluar,” katanya.
Beliau berkata pihak berkuasa mengambil masa terlalu lama untuk memadamkan api, menyalahkan susun atur kompleks hotel-kasino serta kekurangan peralatan menyelamat.
Pasukan kecemasan Kemboja menamatkan usaha menyelamat pada petang Jumaat dengan Kun Kim mengesahkan pasukan sudah menggeledah semua kawasan di lokasi kejadian.
Seorang pekerja kasino warganegara Thailand Neung berusia 42 tahun berkata bapanya meninggal dunia di bilik hotel selepas membantu dua wanita melarikan diri.
“Tetapi ketika membantu mereka, dia menggunakan banyak tenaga dan terhidu banyak asap.
“Sekarang, saya hanya mahu memiliki mayatnya,” katanya kepada AFP semalam.
Ramai daripada mereka yang cedera sedang dirawat oleh warga Thailand yang membantu pasukan kecemasan Kemboja dengan operasi mencari dan menyelamat.
Pegawai Thailand berkata lebih 50 orang dimasukkan ke hospital dan 13 dalam keadaan kritikal semalam.
Pihak berkuasa Kemboja berkata mereka sedang berbincang sama ada pertuduhan akan dikenakan terhadap pemilik hotel. – AFP, 1 Januari, 2023.
Komen