POLIS Perak menahan seorang lelaki hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh seorang penganggur yang dalam status orang pengawasan polis, yang ditemukan mati di hadapan rumahnya di Taman Klebang Putra, Chemor semalam.
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di Chemor dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Ketika ini pihak polis sedang mengesan rakan sejenayah lelaki itu yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Yusri berkata dengan tertangkapnya lelaki berkenaan, polis percaya dapat menyelesaikan kes bunuh itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.28 malam, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada beberapa anggota badan mangsa.
Polis pada awalnya tidak menolak kemungkinan mangsa adalah mangsa kemalangan namun bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan akibat objek tumpul dan kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh. – Bernama, 31 Disember, 2022.
Komen