RoS keluar notis minta Bersatu jawab, serah dokumen


Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata, notis itu yang dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1996 dan berkuat kuasa pada 28 Feb lepas, diserahkan kepada Setiausaha Agung Bersatu Shahruddin Md Salleh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Mac, 2018.

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah mengeluarkan satu notis kepada Bersatu yang mengkehendaki parti itu menjawab dan menyerahkan maklumat serta dokumen kepada jabatan itu.

Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata, notis itu yang dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1996 dan berkuat kuasa pada 28 Feb lepas, diserahkan kepada Setiausaha Agung Bersatu Shahruddin Md Salleh.

Beliau berkata, notis itu dikeluarkan berikutan aduan yang dikemukakan oleh ahli Bersatu kepada pihak RoS dan jabatan itu memerlukan maklumat tersebut bagi melengkapkan siasatan mengenainya.

“Notis 14 (2) adalah suatu notis merujuk kepada perkara yang diarahkan oleh RoS untuk mengemukakan minit-minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa notis yang dikeluarkan itu adalah suatu notis statutori berdasarkan kuasa menurut Akta Pertubuhan.

Surayati berkata, walaupun keperluan minimum menurut Seksyen 14 (3) Akta Pertubuhan adalah tujuh hari bagi Bersatu memberikan maklum balas, namun RoS memberikan tempoh masa yang lebih panjang iaitu 30 hari kepada Bersatu memberikan maklum balas dengan menyertakan maklumat dan dokumen yang diminta.

“Sekiranya pihak Bersatu gagal menyerahkan maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen yang diminta sebagaimana notis yang telah dikeluarkan menurut Seksyen 14 (2), tindakan susulan daripada RoS adalah mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan iaitu mengeluarkan satu perintah pembubaran ke atas Bersatu,” katanya. – Bernama, 9 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen