Pakatan makin membandar, Perikatan makin mendesa


Mohd Azizi Jaeh

MALAYSIA telah selesai memilih. Kerajaan yang tertubuh pasca PRU-15 hasil gabungan dan pembentukan jajaran baru. Gabungan parti yang bermusuh dan bergolak sejak sekian lama mengambil jalan perdamaian – Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN). Sementara Perikatan Nasional (PN) memilih untuk bertindak sebagai blok pembangkang.

Memandangkan struktur politik Malaysia berteraskan kesedaran kaum, topik perbincangan mengenai politik bandar dan desa tidak harus dipandang enteng. Selama ini realiti yang melingkungi demokrasi di Malaysia lebih terhala kepada konflik antara parti Melayu dengan parti pelbagai kaum dan perbezaan sikap atau pilihan antara pengundi Melayu dengan pengundi bukan Melayu.

Namun, muncul satu lagi realiti yang dikatakan tidak pernah diperlihatkan dalam sejarah PRU iaitu ‘belahan yang semakin tajam’ (baca: bandar vs desa) antara parti yang menguasai bandar dan parti yang mendominasi desa. Peta politik Malaysia khasnya di Semenanjung telah bertukar garis warna.

Merah (PH) lebih mewarnai kedudukannya di Pantai Barat, sementara biru (PN) lebih mewarnai posisinya di Pantai Timur.

Fenomena pembandaran sebenarnya lebih terpusat di sebelah Pantai Barat berikutan kerancakan sektor industri, berbanding Pantai Timur yang mengekalkan fungsi luar bandarnya yang menumpukan kepada pertanian.

Sebetulnya, pasangan bandar dan desa merupakan ciri tempat yang saling melengkapi fungsinya, tetapi dianggap sebagai berlawanan budaya dan pilihan politiknya.

Jika diperhatikan, penguasaan gabungan parti menampakkan pola yang tidak seimbang mengikut geografi dan demografi pilihan raya. Sekali imbas, ia membentuk batas atau pembahagian yang semakin ketara mengikut komposisi negeri dan beberapa kawasan.

Bahkan ia menampakkan kewujudan persaingan antara dua blok terbesar PH-PN. Ia seakan-akan wujudnya petanda ‘Perang Dingin baru’ apabila ‘penandaan pengaruh’ di ruang yang dikuasai gabungan blok masing-masing.

Umumnya, PH kelihatan mewakili sokongan pengundi di Pantai Barat Malaysia, manakala PN mewakili sokongan pengundi di Pantai Timur Malaysia. Lebih spesifik PH berada di radar utama Lembah Klang, sebahagian Johor, Perak Selatan, dan Pulau Pinang, sementara PN pula menguasai Perlis, Kedah Kelantan dan Terengganu, Perak Utara dan sebahagian Pahang.

Jika dibentangkan peta Semenanjung, kita boleh menyaksikan ‘belahan’ dan ‘segmen kawasan’ tersebut – menghala ke ‘kanan’ wilayahnya seakan dikuasai PN, menghala ke ‘kiri’ kawasannya seakan dikuasai PH.

Perikatan sinonim dengan desa

Pola sokongan pengundi desa realitinya kekal dengan parti Melayu yang berimejkan semangat kedesaan, cuma berlakunya peralihan sokongan daripada blok BN kepada PN.

Kedua-dua negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu berjaya ditawan sepenuhnya, tidak ketinggalan dua lagi negeri di Utara iaitu Kedah dan Perlis hampir ditawan sepenuhnya (kecuali satu kerusi Sungai Petani dapat dipertahankan oleh PH). Keempat-empat negeri Melayu ini hampir ditakluki sepenuhnya oleh PN. Daripada 40 kerusi Parlimen di 4 negeri itu, PN memenangi 39 berbalas 1.

Lebih mengaibkan, BN sebagai blok tertua yang ditubuhkan pada 1973 mencatatkan zaman kemerosotannya apabila gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen di keempat-empat negeri tersebut yang juga disebutkan kawasan ‘Malay heartland.’

UMNO/BN dianggap menerima ‘pukulan maut’ dan turun tarafnya sebagai ‘pendahulu’ politik desa sebelum ini.

Rantaian dan gelombang hijau PAS yang melandai negeri Utara dan Pantai Timur tidak dapat dipisahkan daripada psike pengundi Melayu luar bandar (misalnya petani dan nelayan) yang mencari perlindungan terakhir di bawah payung bernama agama (Islam).

Di samping itu, mereka pengundi beranggapan parti berasaskan identiti agama dan kaum merupakan institusi pelindung kepada kepentingan Melayu.

Harus diingatkan, penulis tidak mengeneralisasikan yang kesemua kawasan dimenangi oleh PN adalah kawasan Melayu desa. Terdapat juga beberapa kawasan bandar misalnya Alor Setar dan Kangar dimenangi PN kesan gelombang PN.

Pakatan kuasai bandar?

PH tampak kekal mengukuh di kawasan bandar-bandar utama terutamanya di kerusi tradisi di Lembah Klang dan W.P Kuala Lumpur. Kawasan tersebut merupakan pusat perindustrian, perkhidmatan dan perniagaan utama. Daripada 34 kerusi, PH menang 26, PN menang 7 dan BN memenangi hanya 1.

Satu lagi contoh menarik ialah Perak yang merupakan pangkalan tempur utama PH. Keputusan sengit terhasil antara PH dan PN iaitu 11-10. Hasrat PH untuk meletakkan Perak sebagai koridor kuasa baru PH selepas Pulau Pinang dan Selangor tidak kesampaian. Meskipun PH masih mengekalkan kemenangan di kawasan campuran dan bandar utama di Perak, tetapi masih tidak dapat menembusi kawasan majoriti Melayu desa.

Lazimnya, bandar sering dihubungkan dengan simbol kemodenan. Bahkan bandar dianggap sebagai pusat pengetahuan dan tempat berkumpulnya manusia intelektual dan aktivis dalam mencetuskan gerakan perubahan. Ketiadaan unsur ini pada sektor desa dan bilamana ukuran ini digunakan, maka timbullah stereotaip tentang desa yang masih terkebelakang, daif dan tidak mampu berfikir tentang reformasi politik.

Penguasaan PH di bandar-bandar berpunca daripada proses dan perkembangan sejarah politik yang panjang Pertapakan DAP sejak pertengahan 1960-an di Lembah Klang khususnya di bandar Kuala Lumpur dan Selangor dengan membangkitkan isu-isu kelas serta kelahiran PKR pada penghujung 1990-an dalam mencetuskan gerakan reformasi dan keadilan sosial telah melahirkan tenaga alternatif untuk masyarakat bandar.

Tidak hairanlah kedua-dua parti bandar tersebut berterusan menguasai negeri-negeri yang mempunyai kadar pertumbuhan bandar yang pesat di samping struktur masyarakatnya yang berbilang kaum.

Apakah yang boleh dipelajari?

PRU-15 menunjukkan pilihan politik bagi masyarakat bandar dan desa kelihatan begitu berbeza dan ketara. Akhirnya pengundi akan berbalik kepada pangkal politik yang berasaskan kaum (psikologi rasa selamat) menentukan ‘kalah mati’ sesebuah gabungan parti.

Bandar dan desa masih lagi dipandang sebagai entiti yang terasing. Parti bandar tidak dapat melimpahkan sokongan ke sektor desa, begitulah parti berasaskan Melayu sukar menempatkan diri di kalangan warga bandar. Pendek kata, market mereka masih terbatas untuk memenangi keseluruhan pendapat awam tanpa mengira warna kulit, agama dan etnik.

Ia menunjukkan kepada kita budaya masyarakat dalam memupuk politik berbilang kaum masih tidak dapat ‘disejagatkan’ ke segenap ruang geografi Malaysia. – 31 Disember, 2022.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen