SAHAM Wall Street semalam menyaksikan tahun terburuk sejak 2008, selepas tempoh “teruk” digoncang oleh inflasi dan langkah agresif untuk mengekang kos.
Pasaran menyusut berlaku ketika pertumbuhan global yang perlahan, dasar monetari yang ketat, sekatan Covid-19 berlarutan di China dan gangguan bekalan tenaga selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Di Amerika Syarikat, indeks utama S&P 500 turun sekitar 20% sepanjang tahun lalu.
Ini merupakan prestasi keempat terburuk sejak Perang Dunia II, kata Sam Stovall, ketua strategi pelaburan di CFRA Research.
Kedudukannya berada di belakang krisis kewangan 2008, kejatuhan pasaran saham pada 1974 dan letupan gelembung dot-com pada 2002.
Ia menjadi “tahun yang teruk,” kata Stovall.
Tahun ini menyaksikan inflasi pengguna yang berterusan di AS, mencecah paras tertinggi 40 tahun pada Jun.
Bagi meredakan ekonomi, Rizab Persekutuan memulakan kempen agresif menaikkan kadar faedah dan menurunkan permintaan.
Ia dengan pantas membawa kadar pinjaman penanda aras daripada sifar kepada julat 4.25-4.50%, tetapi langkah itu menimbulkan kebimbangan kemelesetan - ketika penggubal dasar berikrar untuk mengekalkan langkah mengekang inflasi sehingga semuanya selesai.
Indeks utama ditutup lebih rendah pada Jumaat, dengan Purata Perindustrian Dow Jones kehilangan 0.2% dan S&P 500 susut 0.3%.
Indeks Komposit Nasdaq susut 0.1%.
Sektor teknologi terkesan
Susulan pinjaman semakin mahal, pelaburan dalam syarikat, terutamanya dalam dunia teknologi terjejas teruk.
Nasdaq, di mana saham teknologi utama tertumpu, jatuh hampir 35% tahun ini.
Khususnya saham Tesla kerugian lebih 65% daripada nilainya, manakala saham Apple menjunam 24% dan syarikat induk Facebook Meta, 63%.
Kekayaan pengasas bilionair mereka juga menyusut, separuh bagi Mark Zuckerberg daripada Facebook dan hampir separuh dalam kes Jeff Bezos daripada Amazon.
Sementara itu, Dow jatuh sekitar 9% sepanjang tahun lalu.
Dolar juga mengukuh tahun ini, mencecah pariti dengan euro buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
Mata wang kripto terjejas teruk, dengan Bitcoin jatuh daripada sekitar AS$46,000 (RM202,000) pada Mac kepada di bawah AS$20,000 tiga bulan kemudian. Ia kini didagangkan sekitar AS$16,000. – AFP, 31 Disember, 2022.
Berita penuh di sini
Komen