Amanah senaraikan dua bekas Umno jadi calon di Terengganu


Zulkifli Sulong

Kedua-dua bekas aktivis Umno itu pula disenaraikan oleh Amanah untuk bertanding di kawasan Marang, iaitu kubu PAS dan juga kawasan parlimen presidennya, Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2018.

JIKA ada yang beranggapan, ahli Amanah berasal dari PAS sahaja, anda silap kerana di Terengganu, sekurang-kurangnya dua dari calonnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti adalah bekas aktivis Umno.

Kedua-dua bekas aktivis Umno itu pula disenaraikan oleh Amanah untuk bertanding di kawasan Marang, iaitu kubu PAS dan juga kawasan parlimen presidennya, Abdul Hadi Awang.

Pemegang doktor falsafah yang sebelum ini aktif dalam Umno dan Perkasa, Dr Zarawi Sulong disenaraikan oleh Amanah untuk melawan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang.

Turut di senarai sebagai calon Amanah di situ adalah Miqdad Zakaria, Ketua Amanah Marang yang juga anak saudara kepada isteri Hadi.

Di DUN Bukit Payong pula, bekas aktivis Umno yang kini menyertai Amanah juga disenarai di samping seorang lagi calon.

“Kita senarai bekas pemimpin Umno yang menyertai Amanah di samping calon lain. 

“Tetapi kata putusnya terletak kepada Majlis Presiden,” kata Pengarah Komunikasi Amanah Terengganu, Zubir Mohamad.

Amanah akan bertanding Parlimen Marang di samping DUN Rhu Rendang dan Bukit Payong di Marang.

Dua lagi kerusi iaitu Pengkalan Berangan akan di tandingi oleh Bersatu manakala Alor Limbat oleh calon PKR.

PH Terengganu membuat polisi, semua parti akan bertanding di setiap kawasan pilihan raya parlimen di negeri itu.

Di Kuala Terengganu misalnya, Amanah akan bertanding Parlimen Kuala Terengganu di samping DUN Batu Burok dan Wakaf Mempelam manakala PKR (Bandar) dan Bersatu (Ladang).

Kini PH mempunyai dua kerusi sahaja di Terengganu iaitu Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi pengerusinya, Raja Kamarul Bahrin ketika beliau bersama PAS dan Azan Ismail (PKR - DUN Bandar).

PAS pula mempunyai tiga Parlimen (Marang, Kuala Nerus dan Dungun) serta 14 kerusi negeri.

PH berjaya menyelesaikan pembahagian kerusinya di Kelantan dan Terengganu dengan Amanah mendapat kerusi paling banyak di kedua-dua negeri itu.

Di Kelantan, Amanah mendapat 23 dari 45 kerusi negeri yang ada manakala di Terengganu parti pecahan Pas itu mendapat 11 dari 32 kerusi negeri.

Pembahagian kerusi di Kelantan dan Terengganu selesai selepas ia dibawa kepada para perunding parti masing-masing di peringkat nasional selepas gagal diselesaikan di peringkat negeri.

Di Kelantan, Amanah akan bertanding 23 DUN, Bersatu (14) manakala PKR (9).

Namun begitu, isu DAP bertanding atau tidak di Kelantan belum diputuskan dengan jelas.

Calon Amanah juga akan berdepan secara langsung dengan tiga tokoh utama Pas di Kelantan iaitu menentang Menteri Besar Ahmad Yakub di Pasir Pekan, Timbalan Menteri Besar Nik Mohamad Amar di Pancor dan Exco kerajaan negeri Nasrudin Daud di Meranti.

Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi PH dan juga Penasihat Amanah Kelantan, Husam Musa dalam sidang medianya semalam. – 9 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen