Suntikan vaksin Covid-19 kumpulan berisiko tinggi mulai 9 Januari, kata menteri


Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata golongan berisiko tinggi boleh datang ke mana-mana klinik kesihatan awam atau hospital mulai 9 Januari untuk menerima vaksin atau suntikan dos penggalak. – Gambar Facebook, 30 Disember, 2022.

WARGA emas, mereka yang mempunyai komorbiditi dan tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 boleh datang ke mana-mana klinik kesihatan awam atau hospital mulai 9 Januari untuk menerima vaksin atau suntikan dos penggalak, kata Dr Zaliha Mustafa.

Menteri kesihatan berkata langkah itu adalah untuk menggalakkan mereka yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi untuk menerima suntikan atau dos penggalak.

“Suntikan jumpa terus boleh dilakukan di klinik Kementerian Kesihatan dan hospital awam berdasarkan waktu operasi premis masing-masing bermula 9 Januari 2023.

“Ia terpakai kepada mereka yang mempunyai komorbiditi termasuk pesakit penyakit kronik; warga emas berumur 60 tahun ke atas dan individu yang mengalami simptom dan komplikasi Covid-19,” kata menteri kesihatan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkongsi rancangan untuk mengetatkan sekatan Covid-19 dan mengumumkan pelancong yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu, kata Kementerian Kesihatan ketika kebimbangan di seluruh dunia semakin meningkat susulan lonjakan kes Covid-19 di China.

Beliau berkata mereka yang didapati demam atau mengisytiharkan diri mereka demam akan segera dirujuk ke pusat kuarantin untuk pemeriksaan lanjut oleh pihak berkuasa kesihatan.

Tambahnya rakyat Malaysia yang mempunyai sejarah melancong ke China dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen dalam tempoh 14 hari selepas ketibaan mereka. 

Beliau berkata sampel akan dihantar untuk ujian genom jika mana-mana daripada mereka didapati positif Covid-19.

Zaliha menambah mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan individu yang pergi ke China atau menunjukkan penyakit seperti influenza atau jangkitan pernafasan akut yang teruk juga perlu diuji untuk virus itu.

Zaliha berkata sehingga 28 Disember seramai 27, 531,220 orang atau 84.3% daripada penduduk menyelesaikan vaksinasi Covid-19 utama mereka dan hanya 16,278,036 orang atau 49.8% menerima dos penggalak pertama mereka.

Beliau berkata hanya 1.9% atau 626,896 individu memperoleh dos penggalak kedua mereka.

Berdasarkan perkembangan terkini menteri kesihatan berkata status Malaysia sebagai kawasan dijangkiti Covid-19 akan dilanjutkan sehingga 30 Jun tahun depan selepas dijadual berakhir pada Sabtu.

Malaysia menyaksikan penurunan dalam kadar jangkitan harian Covid-19 sejak awal Disember.

Negara ini melaporkan 679 kes baharu hari ini. – 30 Disember 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen