Kesatuan sekerja UK beri amaran pada Sunak


Kongres Kesatuan Sekerja berkata parti Konservatif akan terima akibat pada pilihan raya umum akan datang jika PM Rishi Sunak enggan merundingkan kenaikan gaji. – Gambar EPA, 30 Disember, 2022.

PARTI Konservatif akan “menerima akibatnya” semasa pilihan raya umum akan datang jika Perdana Menteri Rishi Sunak enggan merundingkan kenaikan gaji susulan bantahan dan mogok yang berlaku di seluruh negara, ketua Kongres Kesatuan Sekerja (TUC) Paul Nowak memberitahu The Independent.

Mogok akan menjadi isu penting semasa pilihan raya 2024 dan mencadangkan agar kerajaan mula berbincang dengan kesatuan sekerja secepat mungkin, lapor Sputnik.

“Ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk menghentikan mogok … iaitu dengan berunding. Sama ada kita berdepan mogok yang berpanjangan, terserah kepada kerajaan,” kata Nowak.

Pemimpin kesatuan itu juga menggesa pihak berkuasa UK mengambil langkah meningkatkan taraf hidup rakyat ketika pekerja mengalami penyusutan gaji selama dua dekad berturut-turut.

Sunak juga dinasihatkan supaya tidak menerima pakai undang-undang anti-mogok pada 2023, seperti yang dicadangkan kerajaan pada awal bulan itu, katanya.

Penyelidikan TUC menunjukkan gaji sebenar pekerja UK menyusut 20,000 paun (AS$24,000) secara purata sejak krisis kewangan 2008.

Kerugian dijangka mencecah 24,000 paun menjelang 2025.

Inflasi mula menggugat seluruh dunia pada pertengahan 2021 dan keadaan menjadi lebih teruk akibat pandemik Covid-19 dan krisis di Ukraine.

Sekatan yang dikenakan ke atas Russia oleh negara Barat turut menyumbang kepada peningkatan harga makanan dan tenaga di Eropah. – Bernama, 30 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen