Kosovo-Serbia buka semula sempadan utama


SEMPADAN utama Kosovo dengan Serbia dibuka semula dan etnik Serb semalam mula mengalihkan penghadang di utara yang berada dalam keadaan tidak menentu.

Keadaan itu sekali gus meredakan ketegangan yang semakin memuncak dengan pelbagai gesaan di peringkat antarabangsa turut dibuat bagi mengekang konflik berlarutan antara kedua-duanya.

Penghadang pertama dialihkan di bahagian Serbia, dengan sempadan Merdare dan Kosovo mengumumkan lintasan sempadan dibuka sehari selepas Washington dan Brussels menggesa supaya kedua-duanya mengambil langkah meredakan semula ketegangan yang dilihat terus memuncak.

Menurut tinjauan, pada hari sama etnik Serb Kosovo mula mengalihkan penghadang terbesar di Rudare, berhampiran bandar Kosovo, Mitrovica, sekali gus menarik semula berpuluh-puluh trak yang menghalang jalan.

Sekatan jalan raya di lokasi lain turut mula dialihkan, lapor stesen televisyen RTS, milik kerajaan Serbia.

Ketegangan terbaru tercetus pada 10 Disember lalu, apabila etnik Serbia meletakkan penghadang untuk membantah penahanan bekas polis yang disyaki terbabit dalam serangan terhadap anggota polis daripada etnik Albania.

Presiden Serbia Aleksandar Vucic dan polis Kosovo mengumumkan pelonggaran sempadan selepas Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat menggesa ketegangan diredakan segera dan memaklumkan, mereka bekerjasama dengan kedua-dua pihak.

Untuk rekod, Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan daripada Serbia pada 2008 dengan sokongan Barat, berikutan perang 1998 hingga 1999 di mana NATO campur tangan untuk melindungi Kosovo yang majoriti terdiri daripada penduduk Albania. – AFP, 30 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen