Larangan wanita sertai NGO: PBB teruskan bantuan kepada Afghanistan


PBB terus komited dalam menyampaikan perkhidmatan menyelamatkan nyawa kepada rakyat Afghanistan walau berdepan pelbagai halangan. – Gambar EPA, 30 Disember, 2022.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam berkata ia tidak akan berhenti memberikan bantuan kepada Afghanistan walaupun Taliban mengharamkan wanita bekerja dalam sektor bantuan negara itu.

“Biar saya jelaskan PBB dan rakan kemanusiaan sangat komited dalam menyampaikan perkhidmatan menyelamatkan nyawa kepada rakyat Afghanistan,” kata penyelaras residen PBB di Afghanistan, Ramiz Alakbarov, kepada pemberita.

Bercakap selepas G7 mengeluarkan kenyataan yang menggelar tindakan kerajaan Taliba “melulu dan berbahaya,” Alakbarov berkata keperluan kemanusiaan Afghanistan sangat besar.

“Kami tidak percaya tindakan kemanusiaan yang menyeluruh boleh dilakukan tanpa penyertaan wanita,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah penting untuk mereka terus kekal dan melakukannya.

“Bantuan tidak pernah bersyarat. Anda tidak boleh memberi syarat untuk menyediakan makanan atau bantuan kesihatan kepada orang yang kelaparan, atau yang hampir mati.”

Beliau berkata penyelaras bantuan kecemasan PBB dan pegawai PBB lain akan melawat Afghanistan dalam beberapa minggu akan datang untuk membincangkan situasi itu dengan pemerintah Taliban, yang baru-baru ini juga melarang wanita belajar di universiti.

“Saya percaya daripada interaksi dengan Taliban, cara terbaik untuk mendapatkan penyelesaian bukanlah tekanan. Ia adalah dialog. Gerakan ini tidak memberi respons baik kepada tekanan pada masa lalu.”

Katanya, pegawai PBB sudah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak berkuasa Taliban mengenai situasi itu, memetik perbincangan dengan menteri kesihatan.

“Jelas sekali penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan tidak akan dapat dilakukan tanpa kakitangan perubatan,” katanya.

Beliau berkata menteri bersetuju tidak perlu ada halangan, dan penyedia perkhidmatan wanita boleh kembali bekerja.

“Kami bekerja di bawah satu perkara sahaja, dan ia adalah penyelesaian bebanan dan mendapatkan rundingan agar wanita boleh kembali bekerja dan kanak-kanak perempuan boleh kembali ke sekolah, berdasarkan pemahaman ini adalah hak yang sangat penting bagi orang lain,” kata Alakbarov.

“Kami perlu fokus untuk mencari penyelesaian.” – AFP, 30 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen