19 maut kebakaran hotel kasino di Kemboja


Korban kebakaran di hotel kasino Grand Diamond City di Poipet di barat laut Kemboja, kini mencecah 19 orang. – Gambar Facebook, 30 Disember, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 19 orang terbunuh dan ramai lagi dikhuatiri maut dalam kebakaran di sebuah kasino Kemboja, kata pegawai, dengan seorang penyelamat menggambarkan bagaimana mangsa melompat dari bangunan dalam usaha terdesak untuk melarikan diri daripada api.

Kebakaran di hotel kasino Grand Diamond City di Poipet di barat laut Kemboja, bersempadan dengan Thailand, berlaku pada lewat malam Rabu.

“Terdapat 19 maut daripada berdasarkan mayat dan tulang yang ditemui,” kata Sek Sokhom, pengarah jabatan penerangan wilayah Banteay Meanchey Kemboja. 

Beliau memberi amaran angka itu “mungkin lebih tinggi” kerana penyelamat masih belum sampai ke bahagian kompleks.

Seorang sukarelawan dengan kumpulan penyelamat Thailand Ruamkatanyu Foundation, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata pasukannya tiba sekitar jam 2 pagi (0730 GMT) dan melihat orang ramai melompat dari bangunan itu.

“Saya menyaksikan orang ramai berlari keluar dari bangunan untuk menyelamatkan diri daripada asap,” katanya, manakala yang lain ke atas bumbung untuk mengelak api.

“Kemudian kami melihat beberapa orang melompat ke bawah,” kata sukarelawan itu.

Video menunjukkan bangunan terbakar, dengan anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dan anggota cuba menyelamatkan mangsa dari birai yang terbakar.

Dalam satu klip, seorang lelaki tidak dikenali dilihat duduk di birai tingkap ketika asap berkepul keluar dari belakangnya. Di tempat lain, sekumpulan orang berhimpit di birai apabila api semakin dekat.

Sumber kementerian luar Thailand berkata mereka berkoordinasi rapat dengan pihak berkuasa Kemboja, “termasuk dengan menghantar trak bomba dari Thai”.

Pihak berkuasa Thailand di wilayah jiran Sa Kaeo berkata lebih 50 mangsa dimasukkan ke hospital di sana. Pegawai kesihatan awam tempatan Prapas Pookduang memberitahu AFP yang 13 daripada mereka adalah bergantung kepada mesin hayat.

Gabenor Sa Kaeo Parinya Phothisat berkata kira-kira 60 orang lagi yang terlibat dalam kebakaran itu sudah dirawat dan diperiksa oleh hospital Thailand.

Beliau berkata hospital Thailand merawat 79 warga Thailand, 30 warga Kemboja dan lapan warga Indonesia.

Sukarelawan Yayasan Ruamkatanyu berkata kebakaran bermula di tingkat satu tetapi merebak dengan cepat menyambar permaidani dan melarat ke atas melalui bangunan bertingkat itu.

Naphat Klonkliang, seorang pegawai yayasan itu, memberitahu AFP mereka menemui dua mayat.

“Pasukan penyelamat bergelut pada awalnya dan punca utama adalah asap,” kata pegawai itu.

Kira-kira 100 penyelamat mengerumuni kompleks itu sepanjang hari, ada yang memakai alat pelindung lengkap untuk memasuki bangunan bagi mencari mangsa yang terselamat.

Kemboja adalah salah satu negara termiskin di Asia Tenggara dan rakyatnya secara rasmi dilarang daripada berjudi di kasinonya.

Tetapi terdapat banyak hotel kasino seperti itu di sepanjang sempadan Thailand. Poipet ialah destinasi percutian popular untuk pelawat dari Thailand, dengan kebanyakan bentuk perjudian juga diharamkan.

Kebakaran itu berlaku selepas dua lagi kejadian maut di tempat hiburan di Thailand dan Vietnam tahun ini.

Kebakaran di sebuah kelab malam Thailand pada Ogos mengorbankan 26 orang dan mencederakan lebih ramai lagi.

Kebakaran di sebuah bar karaoke di selatan Vietnam mengorbankan 32 orang pada bulan berikutnya.

Kebimbangan sekian lama dibangkitkan mengenai peraturan kesihatan dan keselamatan yang longgar, terutamanya di bar, kelab malam dan tempat hiburan lain yang tidak terkira banyaknya. – AFP, 30 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen