Korban ribut musim sejuk AS cecah 61 orang


Beberapa kawasan di AS mengalami cuaca ekstrem seperti ribut salji dan angin kencang sejak ribut musim sejuk mula membadai negara itu pada 22 Disember. – Gambar EPA, 30 Disember, 2022.

ANGKA kematian akibat ribut musim sejuk dahsyat yang melanda sebahagian besar Amerika Syarikat (AS) semasa Krismas meningkat kepada sekurang-kurangnya 61 pada Khamis, kata pegawai.

Eksekutif Erie County Mark Poloncarz berkata dua lagi kematian dilaporkan di wilayah barat New York yang dibadai ribut itu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 39 orang.

Erie County termasuk bandar Buffalo yang dilanda salji, di mana kebanyakan kematian berlaku.

Poloncarz berkata, 17 daripada 39 mangsa ditemui di luar, 11 berada di dalam rumah, empat dalam kereta, empat maut semasa menyodok atau membersihkan salji dan tiga akibat ketidakupayaan petugas kecemasan untuk sampai kepada mereka dalam tempoh sepatutnya.

Sembilan kematian dilaporkan akibat kemalangan kereta berkaitan ribut di negeri barat tengah Ohio dengan beberapa kematian di sekurang-kurangnya enam negeri lain.

Dengan suhu meningkat dan salji semakin cair, pegawai di New York menyatakan kebimbangan mengenai banjir tetapi eksekutif daerah berkata “ia tidak kelihatan tidak akan menjadi lebih buruk.”

“Syukurlah, nampaknya banjir akan menjadi minimum,” kata Poloncarz.

Beliau berkata bekalan elektrik berjaya dipulihkan di daerah itu.

Ketika Buffalo berusaha keluar daripada bencana ribut itu, terdapat kritikan berhubung terhadap tindak balas pihak berkuasa dengan Poloncarz menggelar pengendalian bandar itu sebagai “memalukan.”

Sebagai contoh, tiada larangan perjalanan dikeluarkan di Buffalo sehingga 9:30 pagi pada pagi Jumaat ketika ramai yang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ribut itu juga membawa suhu sejuk luar biasa ke negeri-negeri seperti Texas dan Florida dan menyebabkan huru-hara di lapangan terbang, dengan ribuan penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan. – AFP, 30 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen