Memorandum transformasi Parlimen diserah kepada PM


Memorandum transformasi Parlimen disampaikan Speaker Dewan Negara Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2022.

MEMORANDUM transformasi Parlimen diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini selaras dengan komitmen yang dibuat antara kerajaan dan pembangkang pada Februari lalu.

Kenyataan bersama pejabat Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat memaklumkan memorandum itu disampaikan Speaker Dewan Negara Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

“Perdana menteri menyambut baik usaha itu dan memaklumkan kepada kedua-dua Speaker penelitian khusus akan dilakukan termasuk pandangan objektif Jemaah Menteri dan pihak berwajib yang lain,” menurut kenyataan itu.

Katanya jawatankuasa transformasi Parlimen yang dipengerusikan Rais sejak setahun lalu menyelesaikan kerja semakan perundangan ke arah menjadikan Parlimen bebas daripada kepentingan dan kuasa mana-mana pihak termasuk eksekutif.

“Memorandum itu juga mengesyorkan supaya Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 diperbaharui dan dilunaskan dengan segera supaya konsep asingan kuasa benar-benar dilaksanakan dan bersekali menjaga kepentingan penjawat awam yang berkhidmat di bawah Parlimen kini,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, penyampaian memorandum berkenaan menyentuh beberapa pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 untuk mengendalikan isu berkaitan kelakuan, kanun etika dan tata disiplin setiap ahli Parlimen di kedua-dua dewan.

“Kedua-dua speaker Parlimen dan perdana menteri juga membincangkan mengenai potensi menjadikan ‘rasa juang negara’ dalam kalangan peserta Parlimen Belia melalui sebaran dan serapan nilai Rukun Negara yang kini didapati tiada promosi dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Rais turut memaklumkan Anwar akan bertemu pimpinan Dewan Negara dalam tempoh terdekat bagi melunaskan beberapa hal dan isu berkaitan Senat sebagai dewan tertinggi negara. – Bernama, 29 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen