SAMI Myanmar berhaluan kanan dibebaskan dari penjara hari ini selepas ditahan kerana mencetuskan protes anti-Rohingya pada 2016.
Hukuman itu dilihat sebagai tindakan yang sangat jarang berlaku terhadap ahli agama berfahaman Buddha di negara itu.
Parmaukkha dipenjarakan selama tiga bulan kerana mengobarkan api kebencian menggunakan sentimen nasionalisme Buddha dan Islamofobia di Myanmar, negara yang dituduh warga dunia mengadakan kempen pembersihan etnik Islam Rohingya.
Sami itu ditahan November tahun lalu berhubung perhimpunan yang dibuatnya di hadapan Kedutaaan Amerika Syarikat di Yangon pada April 2016. Protes itu dibuat terhadap penggunaan perkataan “Rohingya” oleh AS.
Sebahagian besar rakyat majoriti berfahaman Buddha di negara itu enggan mengiktiraf Rohingya sebagai rakyat, malah kerap merujuk komuniti terpinggir itu sebagai “Bengali” selain mendakwa yang mereka adalah pendatang haram dari Bangladesh.
Pada Jumaat, puluhan penyokong Parmaukkha mengililingi sami itu sambil bersorak gembira ketika dia meninggalkan penjara paling brutal di Yangon.
“Dia ada kerja untuk dibuat… Saya suka dengan apa yang dia buat pada agama dan negara,” kata penyokongnya, Aye Lay, 32.
Sementara itu, ucapan berbaur kebencian terhadap orang Islam makin meningkat ketika pihak tentera menghalau lebih kurang 700,000 Rohingya ke luar dari negara sejak Ogos lalu.
PBB memberi amaran yang kempen itu sama maksudnya dengan pembersihan etnik selain boleh mencetuskan pembunuhan beramai-ramai.
Bagaimanapun, ramai rakyat negara itu menyokong tindakan ketenteraan itu yang mana pihak tentera mengatakan perlunya usaha untuk menghancurkan militan Rohingya. – AFP, 9 Mac, 2018.
Komen