TIGA wanita mengalami kerugian hampir RM1.7 juta selepas masing-masing menjadi mangsa sindiket Macau Scam mendakwa mereka terbabit dalam pengubahan wang haram, dalam kejadian di Pulau Pinang baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Fisol Salleh berkata mangsa pertama seorang kerani syarikat swasta yang tinggal di Bukit Mertajam membuat laporan polis pada 19 Disember lalu, memaklumkan dia kerugian RM1,026,200 ditipu sindiket itu sejak Julai lalu.
“Wanita itu mendakwa dia pada mulanya dihubungi suspek mengaku dari Pos Malaysia kononnya terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan atas namanya sebelum talian disambung kepada pegawai polis yang memaklumkan mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram.
“Mangsa yang panik dan takut ditahan polis mengikut semua arahan suspek sebelum membuat pemindahan wang secara berperingkat ke 13 akaun berbeza dan duit itu adalah wang insurans mendiang suami serta simpanannya,” katanya pada sidang akhbar di George Town hari ini.
Beliau berkata, mangsa kedua seorang guru berusia 41 tahun yang tinggal di Seberang Perai Selatan mengalami kerugian RM203,200 membuat laporan polis juga pada 19 Disember.
Fisol berkata, wanita itu dihubungi sindiket berkenaan sejak November lalu dan dia membuat pinjaman bank sebanyak RM190,000 serta duit simpanan untuk membayar kepada suspek kononnya bagi mengelak ditahan polis.
Mangsa terakhir yang juga guru berumur 47 tahun dan tinggal di Seberang Perai Utara membuat laporan polis pada 23 Disember selepas kerugian RM439,000 kerana ditipu sindiket Macau Scam yang menghubunginya pada 19 September.
“Mangsa turut membuat pinjaman bank sebanyak RM300,000 untuk membayar kepada sindiket itu dan dia membuat 15 transaksi ke lapan akaun berbeza membabitkan jumlah kerugian RM439,000,” katanya modus operandi sindiket yang menipu dua guru itu sama dengan kes pertama.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket penipuan dan tiga kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Sejak Januari hingga semalam, polis Pulau Pinang merekodkan sebanyak 2,239 kes jenayah siber membabitkan kerugian RM79.5 juta dengan kes Macau Scam antara yang tertinggi direkodkan iaitu 921 kes dan sebanyak RM27.14 juta nilai kerugian,” katanya. – Bernama, 29 Disember, 2022.
Komen