Penyerang Paul Pelosi mengaku tidak bersalah semua pertuduhan 


Suami kepada Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Nancy Pelosi, Paul Pelosi diserang di kepala menggunakan tukul. – Gambar EPA, 29 Disember, 2022.

SEORANG lelaki yang didakwa menyerang suami kepada Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan, termasuk cubaan membunuh ketika perbicaraan kedua di San Francisco pada Rabu.

David DePape, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan cubaan menculik dan serangan, lapor Xinhua.

Pada awal pagi 28 Oktober, DePape yang berusia 42 tahun memecah masuk ke kediaman milik Nancy Pelosi dan menyerang Paul Pelosi di kepala dengan menggunakan tukul.

Nancy Pelosi tiada di rumah semasa serangan itu.

Paul Pelosi, 82, dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan bagi merawat keretakan di kepala dan menerima rawatan di kedua-dua tangannya.

DePape telah ditangkap di tempat kejadian.

DePape menghadapi enam pertuduhan jenayah termasuk cubaan membunuh, menyerang dengan senjata, penderaan warga emas, pecah rumah, mengancam nyawa atau mendatangkan kecederaan serius kepada penjawat awam.

DePape membuat penampilan pertamanya di mahkamah pada 1 November dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan cubaan bunuh.

Dalam perbicaraan awal yang diadakan pada 14 Disember, Hakim Stephen Murphy memutuskan bahawa terdapat bukti yang mencukupi terhadap DePape untuk memajukan kes itu. – Bernama, 29 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen