ALGERIA akan membenarkan pelancong antarabangsa yang ingin melawat ke gurun padang pasir untuk mendapatkan visa ketibaan, dalam usahanya mempromosikan pelancongan di Sahara, kata kementerian dalam negeri.
Dalam satu kenyataan ia berkata warga asing yang menuju ke selatan negara itu dan mempunyai tempahan dengan syarikat tempatan berlesen boleh mendapatkan visa ketibaan di lapangan terbang atau sempadan darat, tanpa perlu melalui proses prosedur mendapatkan visa secara biasa.
Algeria, negara Afrika terbesar mempunyai hamparan padang pasir besar Sahara termasuk rizab alam semula jadi dan tapak bersejarah.
Ia juga terdiri daripada 1,200km pantai barat Mediterranean dan beberapa bandar bersejarah.
Tetapi negara Afrika Utara itu tidak menerima kunjungan pelancong yang ramai berbanding negara jirannya iaitu Magribi dan Tunisia, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada hasil minyak dan gas.
Menurut data rasmi, separuh daripada mereka yang melancong di negara itu adalah rakyat Algeria yang menetap di luar negara.
Sejak beberapa tahun terakhir ini pihak berkuasa menggandakan usaha untuk melonjakkan sektor pelancongan.
Kawasan simpan Tassili di tenggara Djanet antara kawasan yang menarik dengan padang pasir, pergunungan dan kehidupan burung serta fauna, seluas 138,000 kilometer persegi.
Awal bulan ini, penerbangan terus dari Paris tiba di Djanet membawa 64 penumpang, ia adalah perkhidmatan pertama sejak dihentikan 12 tahun lalu susulan pembunuhan seorang pelancong Perancis oleh kumpulan pengganas. – AFP, 29 Disember, 2022.
Komen