Mississippi berdepan krisis bekalan air


Beberapa tapak agihan air minum dibuka di bandar Jackson minggu ini berikutan penduduk tempatan mulai bosan dan kesal dengan bekalan air yang terputus. – Gambar Facebook, 29 Disember, 2022.

PULUHAN ribu penduduk di Jackson, ibu kota Mississippi, iaitu negeri paling selatan di Amerika Syarikat (AS), berdepan masalah gangguan bekalan air semalam, selepas sistem paip yang beku susulan ribut salji melanda kebanyakan kawasan di negara itu sepanjang minggu lalu.

Ia krisis air terbesar kali ketiga berlaku dalam tempoh dua tahun melanda bandar itu menjejaskan kira-kira 150,000 penduduk, kebanyakannya berketurunan Afrika Amerika, mencetuskan perbalahan politik berkaitan dengan akses kepada infrastruktur penting dengan perbezaan kaum.

Kebocoran dalam paip pecah menyebabkan tekanan menurun dalam sistem air di bandar itu, melumpuhkan bekalan untuk kebanyakan kawasan perumahan, kata pihak berkuasa.

Katanya, pekerja sedang berusaha untuk mengesan sebanyak mungkin kebocoran paip.

Darurat diumumkan dan penduduk digesa minum air yang direbus bagi mengelak dijangkiti penyakit.

“Kita sedang berdepan keadaan paling teruk,” kata Datuk Bandar Chokwe Antar Lumumba pada sidang media.

“Pekerja terus mencari kebocoran besar dan kerosakan, tetapi tidak semuanya dapat dicari pada masa ini. Kita berdepan dengan sistem paip yang lama dan tua yang terus menerus memberi cabaran kepada kita.”

Pada awal 2021, Jackson tidak memperoleh bekalan air selama hampir sebulan selepas musim sejuk. Dan pada musim panas baru-baru ini, banjir besar menyebabkan loji rawatan air di bandar itu terpaksa ditutup, menyebabkan penduduk tidak mempunyai akses kepada air minuman yang selamat selama dua bulan.

Pada November, Jabatan Kehakiman melantik pentadbir untuk meninjau sistem air. Awal bulan ini, Kongres memperuntukkan AS$600 juta daripada dana persekutuan untuk mengubah suai infrastruktur Jackson.

Sementara itu, beberapa tapak agihan air minum dibuka di bandar itu minggu ini berikutan penduduk tempatan mulai bosan dan kesal dengan keadaan itu.

“Saya hargai bantuan kerajaan beri kami air, tetapi keadaan ini tidak boleh berlanjutan,” kata Michael Broom, 34. – AFP, 29 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen