Mahkamah Rusia hukum penjara suspek kes tembakan universiti


SEORANG remaja Rusia pada Rabu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh enam orang dalam kejadian tembakan di kampus universiti pada 2021, kata penyiasat.

Semasa serangan—salah satu yang paling teruk dalam sejarah Rusia baru-baru ini—pelajar tahun satu undang-undang Timur Bekmansurov menyerbu masuk kampus universiti yang sibuk di bandar Ural Perm, kira-kira 1,300km timur Moscow, dengan menggunakan senapang memburu.

Tembakan dilepaskan remaja berusia 19 tahun itu meragut nyawa seorang lelaki dan lima wanita berusia antara 18 hingga 66 tahun, dan mencederakan berpuluh-puluh lagi sebelum ditahan.

Beliau didapati bersalah atas pelbagai pertuduhan pembunuhan yang dilakukan “atas motif berkaitan hooliganisme” dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, kata Jawatankuasa Siasatan dalam satu kenyataan.

Semasa perbicaraannya, Bekmansurov mengakui sepenuhnya kesalahan dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman lebih ringan.

Kejadian September 2021 adalah serangan kedua seumpamanya pada tahun itu, selepas seorang pelajar berusia 19 tahun menembak mati 9 individu di sekolah lamanya di bandar Kazan pada Mei.

Kejadian tembakan di sekolah dan universiti di Rusia agak jarang berlaku dan mendorong penggubal undang-undang mengetatkan undang-undang yang mengawal akses kepada senjata api.

Insiden tembakan besar terakhir berlaku pada September di bandar Izhevsk, Rusia tengah, apabila seorang lelaki melepaskan tembakan di sekolah lamanya, menyebabkan 18 orang maut, kebanyakannya kanak-kanak. – AFP, 29 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen