PEMAIN catur wanita dari Iran yang bertanding di kejohanan antarabangsa tanpa memakai tudung tidak mewakili republik Islam itu, kata seorang pegawai persekutuan tempatan pada Rabu.
Sara Khademalsharieh, 25, tampil tanpa bertudung semasa Kejohanan Persekutuan Catur Dunia Rapid dan Kejohnan Catur Blitz minggu ini di Almaty, Kazakhstan, menurut laporan media.
Tindakannya dilihat oleh sesetengah pihak sebagai menunjukkan sokongan terhadap protes yang mencengkam Iran sejak kematian Mahsa Amini, 22, dalam tahanan pada 16 September. Amini ditangkap oleh polis moral Tehran kerana didakwa melanggar kod pakaian ketat negara itu untuk perempuan.
“Pemain catur ini mengambil bahagian secara bebas dan atas perbelanjaannya sendiri dalam kejohanan itu,” kata Hassan Tamini, ketua persekutuan catur Iran, yang dipetik oleh agensi berita Fars.
“Khademalsharieh tidak menyertai pertandingan ini melalui persekutuan, tetapi menyertainya secara bebas,” tambahnya.
Atlet wanita Iran dikehendaki mematuhi peraturan berpakaian ketat republik Islam itu untuk wanita, terutamanya memakai tudung ketika mewakili negara di acara antarabangsa.
“Kami tidak sangka pemain catur itu bertindak begini kerana beliau pernah menyertai kejohanan sebelum ini mengikut piawaian,” kata Tamini.
Beberapa atlet wanita baru-baru ini muncul dalam pertandingan tanpa memakai tudung.
Bulan lalu Iran mengecam seorang pemain skate, Niloufar Mardani, selepas menghadiri pertandingan di Turki tanpa bertudung, kata media tempatan pada masa itu.
Mardani mengambil bahagian “tanpa kebenaran,” kata kementerian sukan, yang dipetik oleh agensi berita Iran Fars.
Pada Oktober, pendaki Elnaz Rekabi hanya memakai ikat kepala semasa acara pertandingan di Kejohanan Asia di Seoul.
Beliau kembali dengan sambutan meriah di lapangan terbang di Tehran, di mana berpuluh-puluh orang bersorak dan bertepuk tangan.
Atlet itu memohon maaf atas insiden itu dan dalam komen kepada media kerajaan, menegaskan tudungnya terbuka secara tidak sengaja.
Sukan menjadi arena sensitif semasa protes, dengan beberapa atlet wanita dan pemain bola sepak lelaki terkemuka menyatakan sokongan mereka.
Gambar profil pemain catur di laman web FIDE menunjukkan Khademalsharieh memakai tudung berwarna biru tua yang tidak menutupi semua rambutnya. – AFP, 29 Disember, 2022.
Komen