Mengenang Sanusi Junid (1943-2018)


Noor Azam Shairi

Idea-ideanya Sanusi Junid selalu mengejutkan, tidak terjangkau dek fikiran orang lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2018.

SESIAPA pun yang pernah berurusan dengan Sanusi Junid, atau sekurang-kurangnya pernah mendengar ucapannya, pasti tahu bagaimana beliau seorang yang “ada banyak cerita”. Selebihnya, dia banyak baca buku dan tidak lokek pula berkongsi apa yang ditimba daripada pembacaannya yang luas itu.

Sanusi, 74, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada Subuh Jumaat setelah rebah selepas mengambil wuduk bersiap-siap untuk solat berjemaah dengan keluarganya.

Sanusi – seorang ayah, bapa, bekas menteri, bekas ketua kerajaan negeri, bekas presiden dan pengerusi pelbagai pertubuhan – sudah tiada. Selepas ini tidak ada lagi cerita-cerita daripadanya. Semua cerita-cerita itu dibawanya pergi.

Cerita-ceritanya selalunya bukanlah cerita kosong tapi terkandung tamsil yang berguna jadi panduan – bagi mereka yang mahu mengambil pengajaran dan bagi mereka yang tahu membaca inti pati makna yang terselit dalam cerita-ceritanya.

Ada ketikanya dalam cerita-cerita itu – yang selalu disambut dengan gelak ketawa kerana memang selalu menghiburkan dan lucu – terselit sindiran yang cukup halus dan tajam. Dalam berjenaka, dia menikam. 

“Selera jenakanya dan gaya perli-memperli itu sangat Melayu,” kata Jaafar Ismail, seorang aktivis budaya dan penerbit, yang dekat dengan Sanusi kerana mereka bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Melalui cerita-ceritanya yang penuh tamsilan dan sindiran, Sanusi hidup dengan jiwa Melayu yang “kaya falsafahnya, kias kata bidal pusaka, akar budi bersulamkan daya, gedung akal laut bicara” – seperti yang ditulis oleh Sasterawan Negara Usman Awang dalam sajaknya yang terkenal “Melayu”.

Gedung akalnya itu ternampak daripada sekian banyak idea-idea yang beliau ketengahkan semasa memegang pelbagai jawatan, baik semasa jadi menteri persekutuan atau menerajui Kedah sebagai menteri besar. 

Idea-ideanya itu memang selalu pula mengejutkan, tidak terjangkau dek fikiran orang lain. 

Idea-idea itu lahir kerana pembacaannya yang luas. Pembacaan yang luas menyebabkan dia merenung dan mengkaji. Dia berfikir. Daripada berfikir itulah timbulnya idea. 

Idea-idea itu lahir kerana dalam dirinya selalu ada tanda tanya yang tidak terjawab – rasa ingin tahu yang timbul kerana dia tidak akan pernah menerima sesuatu dengan seadanya, begitu saja.

Dek luas pembacaan dan celik alam, apabila diberi tanggungjawab jadi Menteri Besar Kedah pada 1996, Sanusi membayangkan (atau mengimpikan) Kedah yang hendak ditadbir dan dibangunkannya itu seperti Amerika Syarikat: Alor Setar pusat pentadbiran, Sungai Petani pusat perniagaan, Kulim pusat teknologi, Langkawi pusat pelancongan – seperti peranan masing-masing Washington DC, New York, San Francisco dan Florida.

Tetapi bukan jarang pula idea-idea itu diperlekehkan, dibuat olok-olok atau dijadikan bahan ketawa. Orang sinikal kerana tidak tahu asal usul ideanya itu. Orang mengejek kerana tidak faham – seperti kempen Sanusi menanam padi di atas bumbung atau kempen mahu orang minum kelapa muda.

Kempen minum kelapa muda

Sanusi waktu itu baru beberapa bulan dilantik sebagai Menteri Pertanian dalam kabinet Dr Mahathir Mohamad pada 1986. Ketika itu sudah dekat dengan pilihan raya. Harga kelapa pada masa itu jatuh teruk. Petani mengeluh. 

Dalam satu majlis di Kelantan, Sanusi ditanya oleh petani apakah beliau boleh jamin harga kelapa akan naik semula.  Oleh sebab ketika itu dekat dengan pilihan raya, Sanusi jawab “boleh”.

Yang Sanusi tidak tahu ketika itu ialah kelapa sudah dihukum oleh Bank Dunia sebagai tanaman yang tidak ada masa depan. Lalu bagaimana? 

Inilah bezanya jurus orang yang membaca dan berfikir.

Sanusi memecahkan masalah harga kelapa itu dengan cuba menggalakkan orang minum air kelapa muda, selepas melihat di pasar tani bagaimana kelapa muda lebih mahal harganya berbanding kelapa tua.

Beliau bertanya: Kenapa tunggu harga turun baru hendak jual? Kenapa tidak jual kelapa semasa harganya masih mahal? Bukankah sebelum tua, kelapa itu muda dan sebelum murah, kelapa itu mahal?

Kelapa muda mahal kerana bekalannya terhad. Bekalannya terhad kerana tidak ada orang mahu memanjat pokok mengambil buah yang muda. Kelapa muda tidak boleh dikait, takut pecah. Orang tidak mahu memanjat pokok kelapa kerana takut diejek monyet. Selebihnya, kerana takut mati. Takut mati kerana dalam cerita dongeng yang popular, Mat Jenin mati jatuh pokok kelapa.

Sanusi tidak hanya memecahkan masalah harga kelapa tetapi memadamkan ketakutan orang tentang mati jatuh pokok kelapa, dan paling penting, salah faham tentang angan-angan Mat Jenin. 

Dongeng Mat Jenin

Sanusi jenuh cuba membetulkan kepercayaan kononnya Mat Jenin mati kerana banyak angan-angan, sehingga selalu diingatkan orang “jangan jadi macam Mat Jenin”. 

Mengikut dongengnya, Mat Jenin berangan-angan duit hasil kelapa akan dibelinya ayam, untung daripada ayam akan dibelinya kambing, dan seterusnya lembu dan kerbau sampailah dia jadi kaya raya dan kahwin anak raja.

Tetapi Sanusi selalu menjaja ceritanya di mana-mana: kalau Mat Jenin mati kerana khayal berangan di atas pokok kelapa, siapa yang menceritakan angan-angannya itu? 

Maka itu, hidup ini mesti selalu dibangunkan dengan angan-angan, katanya. Tidak ada salahnya kalau berangan-angan, katanya lagi. Hidup tidak akan ke mana-mana kalau tidak dimulakan dengan mimpi dan angan-angan, katanya.

Inilah contoh bagaimana Sanusi merenung dan berfikir, cuba memecahkan kebuntuan bangsa. 

Kebuntuan yang hendak dipecahkannya itu selalu terkait dengan hal-hal yang cukup dekat dengan jiwanya iaitu kemiskinan bangsa – bangsa yang miskin jiwa, miskin harga diri, miskin harta benda.

Tentang Sanusi dan idea-ideanya, dan hubung kaitnya dengan anak bangsa, hal itu malah sampai dikaji di universiti.

Pada kematiannya, kita mengenang Sanusi sebagai seorang yang penuh dengan idea. Beliau banyak idea. Beliau buat itu dan ini. 

Tetapi apalah erti orang yang berfikir dan mencurah idea, kalau ideanya itu kemudian dipermainkan tanpa tahu hujung pangkal bagaimana dan untuk apa idea itu lahir.

Tetapi juga bukankah Hang Nadim pun mati kerana ideanya? Hang Nadim mati tetapi matinya dikesali kerana yang ternampak bodoh dan rugi ialah orang yang mengejek ideanya. – 9 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen