Pelarasan tahap pengurusan Covid-19 di China berdasarkan persiapan rapi


Pelarasan tahap pengurusan Covid-19 dilaksanakan China dibuat berdasarkan persiapan rapi, mengambil kira semua aspek dan bukan langkah pelonggaran dilakukan secara terpaksa. – Gambar EPA, 28 Disember, 2022.

PELARASAN tahap pengurusan Covid-19 yang dilaksanakan China dibuat berdasarkan persiapan rapi yang mengambil kira segenap aspek dan bukan langkah pelonggaran yang dilakukan secara terpaksa, menurut Suruhanjaya Kesihatan Negara (NHC). 

NHC mengumumkan keputusan untuk menurunkan tahap pengurusan wabak Covid-19 daripada Kelas A kepada Kelas B bermula 8 Januari, 2023.

Timbalan ketuanya, Li Bin berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kesesuaian dari sudut ciri penyakit berjangkit, kesannya terhadap kesihatan, situasi penularan serta kerja pencegahan dan kawalan berkenaan.

Katanya, China berjaya menahan tempias lima gelombang wabak di seluruh dunia menerusi langkah kawalan ketat sepanjang tiga tahun lalu.

“Usaha berkenaan berjaya mengelak strain asal dan varian Delta yang mempunyai kepatogenan agak kuat daripada merebak lebih meluas.

“Ia juga membantu mengurangkan kadar jangkitan serius dan kematian dengan ketara, hingga meraih masa yang berharga untuk penyelidikan, pembangunan dan penggunaan vaksin serta penyediaan sumber perubatan,” katanya pada sesi taklimat.

Li memaklumkan kerja pencegahan dan kawalan Covid-19 di China memasuki fasa baharu dan mendepani situasi serta tugas baharu.

“Kami memantau teliti ciri virus, mengkaji dan menilai perubahan situasi pandemik di samping mempercepatkan vaksinasi dan bekalan ubat-ubatan, memperkukuh pembinaan sistem rawatan perubatan serta pencegahan dan kawalan selain menaik taraf keupayaan respons kecemasan.

“Kesemuanya adalah prasyarat untuk melaraskan klasifikasi jangkitan Covid-19 di sisi undang-undang,” katanya.

Li berkata tumpuan akan diberikan kepada penyediaan sumber rawatan perubatan pada fasa seterusnya termasuk menjamin bekalan ubat-ubatan untuk rakyat.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk melindungi dan merawat kumpulan berisiko tinggi termasuk warga emas dan kanak-kanak serta memperkukuh pencegahan dan kawalan wabak di kawasan desa, sekali gus menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya. – Bernama, 28 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen