Hampir 200 Rohingya tiba di Indonesia selepas sebulan di laut


Setiap tahun selepas musim tengkujuh reda, ribuan Rohingya melarikan diri dari keganasan di Myanmar dan kem pelarian yang kotor di Bangladesh dalam pelayaran laut berbahaya. – Gambar EPA, 28 Disember, 2022.

SELEPAS lebih sebulan hanyut di Laut Andaman tanpa banyak makanan, ubat-ubatan atau enjin yang berfungsi, hampir 200 Rohingya tiba di wilayah Aceh barat Indonesia selepas bot kayu mereka yang sesak dan usang akhirnya sampai ke pantai pada Isnin.

Di antara pelarian kurus kering yang terselamat dalam pelayaran mengerikan itu, ada yang kekurangan zat makanan sehingga hampir tidak dapat berjalan dan ramai terpaksa dihidratkan semula melalui titisan IV.

Kanak-kanak kecil, lelaki dan wanita yang kurus kering beratur untuk makan, mandi dan menggunting rambut selepas bermalam di lantai masjid tempatan.

“Ada yang mati dalam bot. Kira-kira 26 orang. Kami buang mereka ke laut,” kata Rasyit, seorang pelarian yang kelihatan keletihan.

Setiap tahun apabila musim tengkujuh reda, ribuan Rohingya melarikan diri dari keganasan di Myanmar dan kem pelarian yang kotor di Bangladesh dalam pelayaran laut berbahaya yang dikendalikan oleh pemerdagang manusia yang menjanjikan perlindungan di luar negara.

Malaysia dan Indonesia adalah destinasi pilihan bagi minoriti Islam yang teraniaya, tetapi mereka sering terperangkap dalam apa yang disebut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai “ping-pong manusia” apabila kerajaan menolak mereka.

Kumpulan di Aceh berkata selepas Malaysia enggan membenarkan berlabuh, mereka menghabiskan masa berminggu-minggu menunggu angin meniup ke darat.

Pihak berkuasa tempatan menganggarkan bot itu membawa 174 orang.

“Kami meninggalkan Bangladesh (dan) selepas 10 hari makanan kami habis,” kata Umar Faruq, 14 tahun, yang menggembara tanpa keluarga. 

“Enjin rosak selepas tujuh hari. (Kemudian) Malaysia tidak membenarkan kami mendarat.”

Ketika menaiki bot, mereka hanya mempunyai air bersih yang mencukupi untuk tujuh hari dan makanan untuk bertahan 10 hari, katanya.

“Kami berada di laut sebulan 10 hari.”

Pasukan perubatan dari Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi “merawat kes dehidrasi dan kekurangan zat makanan yang teruk”, Louis Hoffmann, ketua misi di Indonesia, memberitahu AFP pada Selasa.

Bot mereka adalah yang keempat sampai di Indonesia dalam tempoh dua bulan lalu, menurut Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), yang bimbang 180 lagi pelarian mungkin terkorban selepas bot mereka karam di suatu tempat di Lautan Hindi.

‘Kami rasa boleh bertahan’ 

Hampir 1 juta Rohingya tinggal di kem berhampiran sempadan Bangladesh dengan Myanmar, kebanyakannya selepas melarikan diri daripada tindakan keras ketenteraan pada 2017.

Dengan sedikit peluang pekerjaan dan pendidikan di kem, dan tiada peluang untuk kembali ke Myanmar yang dikendalikan junta, ribuan memulakan perjalanan laut berisiko tinggi, selalunya menaiki rakit kayu.

“Di Bangladesh, (hidup kami) susah. Kami dilarang keluar rumah, (dan) anak-anak tidak boleh ke sekolah,” kata Muhammad Taher.

Pendaratan bot pada Isnin lalu di Aceh berlaku sehari selepas sebuah lagi bot membawa 57 pelarian Rohingya ditarik ke darat pada pagi Krismas oleh Tentera Laut Indonesia.

“Apabila kami tiba di perairan Indonesia, kami melihat tempat berbukit dan kami rasa kami boleh bertahan,” Zahid Husein, seorang pelarian berusia 18 tahun memberitahu AFP. 

“Ketika itu, ada di kalangan kami yang mati kerana tidak mendapat makanan. Tuhan memberi jalan kepada kami ketika kami bertemu dengan Tentera Laut Indonesia.”

Beliau menganggarkan lima penumpang maut dalam perjalanan itu.

Tidak seperti beberapa negara Asia Tenggara yang lain, Indonesia tidak menolak bot Rohingya. Bagaimanapun, ia biasanya tidak membantu mereka mendarat, menunggu nelayan mengambil mereka dari laut atau angin menolak bot ke pantainya.

Ann Mayman, wakil UNHCR di Jakarta, menggelar Indonesia “salah satu daripada segelintir negara di rantau ini yang menghormati prinsip asas kemanusiaan bagi orang yang tidak dapat pulang ke rumah kerana penganiayaan dan konflik”.

Dalam ciapannya di Twitter, beliau berkata kira-kira 472 pelarian mendarat di Aceh dalam tempoh enam minggu lalu.

UNHCR mencatatkan “lonjakan dramatik” dalam percubaan menyeberangi Laut Andaman pada 2022, dengan sekurang-kurangnya 161 pelarian dilaporkan mati atau hilang, menurut satu kenyataan baru-baru ini. – AFP, 28 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen