PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam tindakan “kejam” pemerintah Taliban yang menidakkan hak wanita dan remaja perempuan di Afghanistan.
Pertubuhan dunia itu juga menuntut Taliban untuk menarik balik segera dasar terbaru yang dikuatkuasakan oleh pemerintah Islam tersebut.
“Tiada negara boleh membangun – memang bertahan – dari segi sosial dan ekonomi dengan separuh penduduknya dikecualikan,” kata Volker Turk, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, dalam satu kenyataan.
“Sekatan yang tidak terduga yang dikenakan ke atas wanita dan remaja perempuan bukan sahaja akan meningkatkan penderitaan warga Afghanistan tetapi, saya bimbang, ia menimbulkan risiko di luar sempadan Afghanistan.”
Beliau berkata dasar itu berisiko menggugat kestabilan masyarakat Afghanistan.
“Saya menggesa pihak berkuasa de facto untuk memastikan penghormatan dan perlindungan hak semua wanita dan remaja perempuan – untuk dilihat, didengari dan mengambil bahagian dan menyumbang kepada semua aspek kehidupan sosial, politik serta ekonomi negara,” kata Turk.
Sabtu lalu, pemerintah Islam di Afghanistan itu melarang wanita bekerja dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Taliban turut menggantung hak pendidikan wanita ke universiti dan remaja perempuan ke sekolah menengah.
“Sekatam terbaharu oleh pihak berkuasa de facto ini akan memberi kesan buruk kepada wanita dan semua rakyat Afghanistan,” kata Turk.
“Melarang wanita bekerja dalam NGO akan menjejaskan sumber pendapatan mereka dan keluarga, dan hak mereka untuk menyumbang secara positif kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.”
Tindakan itu merupakan tamparan terbaru terhadap hak wanita di Afghanistan sejak Taliban merampas semula kuasa tahun lalu.
Turk berkata “larangan itu akan menjejaskan secara ketara, ataupun memusnahkan” kapasiti NGO ini untuk menyampaikan perkhidmatan penting.
Katanya, lebih menyedihkan dengan Afghanistan yang berada dalam cengkaman musim sejuk, ketika keperluan kemanusiaan berada pada tahap tertinggi. – AFP, 27 Disember, 2022.
Komen