Polis tahan 36 pelajar dalam kes kematian kadet laut


POLIS menahan 36 pelajar universiti berhubung kes kematian seorang pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), lapor Star Online hari ini.

Pelajar tahun akhir Zulfarhan Osman Zulkarnain ditemui dengan bekas terbakar dan lebam di tingkat 25 pangsapuri di Sepang kira-kira jam 8 malam pada Khamis.

Laporan itu berkata Zulfarhan masih hidup ketika ditemui rakan-rakannya yang bergegas menghubungi ambulans.

Tetapi Ketua Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmad berkata mangsa meninggal dunia pada jam 10 malam di Hospital Serdang.

Zulfarhan dipercayai menjadi mangsa buli dan dikatakan diikat, dipukul dan didera menggunakan seterika.

Fadzil bagaimanapun enggan mengesahkan atau menafikan punca kematian Zulfarhan, dan berkata siasatan kes bunuh masih diteruskan.

Awal pagi ini polis dan pasukan forensik ke kampus UPNM di kem tentera Sungai Besi dan menahan lebih 30 pelajar.

“Sejumlah 36 pelajar, semua lelaki, berumur antara 20 dan 21, ditahan. Seramai 32 daripada mereka dari UPNM manakala empat lagi dari United,” kata Fadzil.

Semua ditahan reman seminggu hingga 8 Jun.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata tidak ada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang, jika didapati bersalah.

“Sedih dan pilu pagi ini dengar berita kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain.

“Saya arahkan ATM dan UPNM untuk jalankan siasatan dengan kadar segera. Tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah,” katanya di Twitter. – 2 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen