PUTRAJAYA diingatkan supaya tidak melarang dan menyekat pendakwah daripada berceramah hanya kerana pandangan politik mereka tidak sehaluan dengan kerajaan, kata Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata tindakan yang sama juga tidak elok diambil terhadap artis dan tokoh terkenal lain yang secara terang-terangan menyatakan pendirian menyokong PN semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
“Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.
“Saya tahu ramai pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal yang memberikan sokongan terbuka kepada PN dalam PRU15 yang lalu.
“Ada juga pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Bekas perdana menteri itu juga memaklumkan yang beliau tahu tentang beberapa pendakwah terkenal dilarang memberi ceramah di masjid dan di televisyen, menambah ceramah mereka di Tik Tok juga disekat.
Tambah Muhyiddin, beliau pernah melihat video tular menunjukkan ahli jawatankuasa (AJK) beberapa masjid di Pulau Pinang meletak jawatan kononnya kerana campur tangan kerajaan negeri.
“Saya berharap pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan AJK masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik,” katanya.
Justeru, beliau yang juga presiden Bersatu menggesa pihak yang bertanggungjawab supaya tidak menyekat penyebaran dan pengajaran Islam sehingga menafikan orang menimba ilmu.
“Demikian juga pengurusan masjid yang dibuat dengan memilih AJK secara demokratik oleh ahli-ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.,” katanya.
Baru-baru ini posting media sosial mendakwa pendakwah terkenal Mohd Ridhuan Tee Abdullah disekat daripada menjadi panel dalam program Forum Perdana Hal Ehwal Islam terbitan RTM.
Larangan itu didakwa diarahkan oleh Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil. – 27 Disember, 2022.
Komen