CHINA telah mengumumkan untuk membatalkan kuarantin wajib semasa ketibaan, sekali gus mengendurkan peraturan ketat Covid yang bertahun-tahun ketika negara itu berhadapan lonjakan kes.
Setelah hampir menjarakkan diri dari seluruh dunia semasa pandemik, China kini mengalami lonjakan jangkitan yang tidak pernah berlaku sebelum ini selepas secara tiba-tiba menarik balik sekatan berikutan ekonomi terjejas selain protes tercetus di seluruh negara.
Malah dalam menamatkan hampir tiga tahun kawalan sempadan yang ketat, Beijing berkata pada Isnin ia akan membatalkan kuarantin wajib untuk pelancong luar negara.
Sejak Mac 2020, semua penumpang yang tiba di China terpaksa menjalani kuarantin wajib. Tempoh pengasingan itu diturunkan daripada tiga minggu kepada satu minggu pada musim panas ini, dan kepada lima hari pada bulan lepas.
Ia akan dibatalkan terus di bawah peraturan baharu yang akan berkuat kuasa pada 8 Januari, setelah tahap Covid-19 diturunkan kepada penyakit berjangkit Kelas B daripada Kelas A.
“Menurut undang-undang kuarantin kesihatan kebangsaan, langkah kuarantin penyakit berjangkit tidak lagi akan diambil terhadap pengembara dan barangan masuk,” kata Suruhanjaya Kesihatan Nasional (NHC).
Ramai kini bergelut dengan kekurangan ubat, manakala kemudahan perubatan kecemasan tegang dengan kemasukan pesakit warga emas yang tidak lengkap divaksin.
“Pada masa ini, pencegahan dan kawalan Covid-19 di China menghadapi situasi baharu dan tugas baharu,” kata Presiden Xi Jinping dalam arahannya pada Isnin, menurut penyiar CCTV.
“Kita harus melancarkan kempen kesihatan patriotik dengan cara yang lebih disasarkan… mengukuhkan barisan pertahanan komuniti untuk pencegahan dan kawalan pandemik, selain melindungi nyawa, keselamatan dan kesihatan orang ramai dengan berkesan,” katanya. – AFP, 27 Disember, 2022.
Komen