PEKERJA kecemasan di New York bertungkus-lumus menyelamatkan penduduk yang terperangkap daripada apa yang pihak berkuasa gelar sebagai “ribut salji abad ini.”
Ribut tanpa henti tersebut telah menyebabkan sekurang-kurangnya 25 maut di negeri itu sahaja selain menjadi punca kekecohan perjalanan Krismas di Amerika Syarikat (AS).
Keadaan ribut salji terus berlaku di bahagian timur laut AS sejak beberapa hari lepas, menyebabkan bekalan elektrik terputus, kelewatan perjalanan dan sekurang-kurangnya 47 kematian di sembilan negeri.
Di New York, pihak berkuasa menggambarkan keadaan yang ganas, terutamanya di Buffalo, dengan bekalan elektrik terputus berjam-jam, selain mayat ditemui di dalam kenderaan dan di bawah tebing salji, malah kakitangan kecemasan terpaksa pergi “kereta ke kereta” mencari lebih ramai pemandu yang terjejas, sama ada hidup atau mati.
Ribut salji dengan angin menderu dan suhu di bawah sifar memaksa pembatalan lebih 15,000 penerbangan di AS sejak beberapa hari ini, termasuk sekurang-kurangnya 2,600 setakat semalam, menurut laman penjejakan Flightaware.com.
Buffalo - sebuah bandar di Erie County yang tidak asing dengan cuaca musim sejuk yang ganas - menjadi pusat krisis di AS.
“Sudah tentu ia ribut salji teruk abad ini,” kata Gabenor Kathy Hochul kepada pemberita.
Hochul berkata beberapa bandar di barat New York telah dilanda salji setinggi 30 hingga 40 inci (0.75 hingga 1m) semalaman.
Semalam, Hochul bercakap dengan Presiden AS Joe Biden yang menawarkan “kuasa penuh kerajaan persekutuan” membantu negeri New York, berkata beliau dan isterinya Jill Biden berdoa kepada mereka yang kehilangan orang tersayang dalam ribut itu, menurut kenyataan Rumah Putih.
Eksekutif Erie County Mark Poloncarz memberitahu media, beliau “patah hati” untuk melaporkan angka kematian berkaitan ribut salji telah meningkat kepada 25 di seluruh daerah.
“Kami menjangkakan akan ada lebih banyak” kematian akibat ribut yang berterusan, tambahnya. – AFP, 27 Disember, 2022.
Komen