3 pegawai polis kanan Peru ditangkap komplot rasuah


Tiga jeneral polis Peru bersama tiga yang lain telah diberkas kerana kesalahan meluluskan kenaikan pangkat sebagai pertukaran dengan wang atas restu bekas presiden Pedro Castillo. – Gambar AFP, 27 Disember, 2022.

PIHAK berkuasa Peru menahan tiga jeneral polis dan tiga yang lain pada Isnin atas dakwaan terlibat dalam kes rasuah terhadap presiden yang disingkirkan Pedro Castillo, kata kementerian dalam negeri.

“Operasi mega” itu berjaya memberkas enam orang disyaki terlibat dengan “kenaikan pangkat tidak teratur” dalam pasukan polis, menurut kenyataan kementerian.

Tiga daripada enam itu adalah jeneral polis aktif yang disyaki telah meluluskan kenaikan pangkat sebagai pertukaran dengan wang atas restu Castillo.

Operasi itu melibatkan pencarian di beberapa bandar, termasuk dua rumah bekas menteri pertahanan Walter Ayala di Lima, kata kementerian itu.

Kedua-dua Ayala dan Castillo telah menafikan tuduhan itu.

Bekas komander tentera, Jeneral Jose Vizcarra, dan tentera udara, Jorge Chaparro, mendakwa pada November kerajaan Castillo telah memberi tekanan kepada mereka untuk menaikkan pangkat pegawai yang tidak layak.

Castillo telah dilucutkan jawatan dan ditahan pada 7 Disember selepas cuba membubarkan Parlimen untuk memerintah melalui dekri namun gagal, dalam usahanya yang digelar sebagai rampasan kuasa sendiri.

Castillo, yang menjadi presiden kurang dari setahun setengah, kini dituduh melakukan pemberontakan dan konspirasi dan telah diarah ditahan dalam tahanan pra-perbicaraan selama 18 bulan.

Pemecatan bekas guru sekolah luar bandar dan ketua kesatuan itu menyebabkan protes di seluruh negara, dengan 22 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dan lebih 600 lagi cedera. – AFP, 27 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen