Pelarian Rohingya diberi rawatan kecemasan sebaik mendarat di Indonesia


Jurucakap polis Acheh berkata pelarian Rohingya ditempatkan sementara di kemudahan tempatan, dengan pekerja kesihatan merawat mereka yang sakit. – Gambar

PELARIAN Rohingya menerima rawatan perubatan kecemasan selepas bot yang membawa hampir 200 orang mendarat di Indonesia pada Isnin, kata pihak berkuasa.

Ia merupakan pendaratan keempat di negara itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Setiap tahun beribu-ribu Rohingya yang kebanyakannya Islam, yang dianiaya teruk di Myanmar bermajoriti Buddha, mempertaruhkan nyawa mereka dalam perjalanan laut dalam kapal tidak berkualiti untuk sampai ke Malaysia atau Indonesia.

Kapal kayu itu tiba kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan di sebuah pantai di wilayah paling barat Aceh di Indonesia, kata jurucakap polis tempatan Winardy.

“Seratus lapan puluh lima pendatang Rohingya mendarat di Pidie (daerah). Angka itu terdiri daripada 83 lelaki dewasa, 70 perempuan dewasa dan 32 kanak-kanak,” kata Winardy, yang menggunakan satu nama, dalam satu kenyataan.

Pelarian itu ditempatkan sementara di kemudahan tempatan, dengan pekerja kesihatan merawat mereka yang sakit, tambah Winardy.

Ada yang kelihatan sangat lemah dan kurus dan terpaksa dimasukkan air oleh kakitangan perubatan, menurut wartawan AFP.

Seorang pekerja kesihatan memberitahu AFP ada yang “mengalami dehidrasi teruk. Sesetengah kanak-kanak muntah.”

Butiran mengenai tempoh dan syarat perjalanan mereka tidak tersedia serta-merta, namun seorang pelarian muda berkata mereka berlepas dari Bangladesh.

“Kami datang dari kem pelarian Rohingya di Bangladesh dengan harapan Indonesia akan memberi kami peluang pendidikan,” kata Umar Faruq yang berusia 14 tahun.

Marfian, ketua komuniti nelayan tempatan di tempat kejadian, berkata “sesetengah pelarian mendarat dalam keadaan lemah”.

“Ketika mereka berada di pinggir pantai, penduduk tempatan membantu dengan memberi mereka makanan,” kata Marfian.

Beliau berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini beberapa nelayan Aceh telah membantu bot Rohingya mendarat tetapi bot terbaharu dibawa ke darat oleh angin, kerana nelayan semakin berat untuk tolong.

Winardy menggariskan pihak berkuasa sedang menyelaras mengenai respons pelarian “memandangkan pendaratan mereka di Aceh semakin kerap”.

Pendaratan bot Isnin lalu di Aceh berlaku sehari selepas sebuah lagi kapal yang membawa 57 pelarian Rohingya mendarat di wilayah itu selepas sebulan berada di laut.

Pada November, dua bot yang membawa sejumlah 229 Rohingya mendarat di wilayah yang sama, menurut agensi pelarian PBB UNHCR.

Malaysia selalunya menjadi destinasi pilihan pelarian, tetapi kali ini kebanyakannya memilih di Indonesia yang dilihat mereka lebih mesra.

Agensi PBB dan kumpulan hak asasi manusia telah meminta negara di rantau ini untuk menhulurkan bantuan segera selepas beberapa bot yang membawa Rohingya dilaporkan hanyut selama berminggu-minggu di lautan Hindi.

UNHCR berkata pada hujung minggu kira-kira 180 Rohingya di laut selama berminggu-minggu dikhuatiri maut, selepas saudara-mara berkata mereka terputus hubungan dan menganggap tiada penumpang yang terselamat. – AFP, 27 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen