17 maut dalam salji lebat di Jepun


Orang ramai berwaspada semasa melintas jalan ketika salji lebat melanda utara Jepun di bandar Niigata sejak 19 Disember lalu. – Gambar AFP, 26 Disember, 2022.

SALJI lebat merentasi sebahagian besar Jepun mengorbankan 17 orang sejak 10 hari lalu, dengan beribu-ribu rumah mengalami gangguan bekalan elektrik, kata pegawai Jepun hari ini.

Sebahagian besar pantai barat negara itu serta wilayah utara Hokkaido menyaksikan salji lebat berterusan sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Menurut media tempatan, beberapa kawasan menyaksikan salji turun hampir satu meter dalam tempoh 24 jam, termasuk bandar Oguni di wilayah timur laut Yamagata.

Agensi cuaca Jepun memberi amaran kepada penduduk di kawasan yang terjejas supaya mengelak melakukan perjalanan, selepas kereta tersangkut di jalan raya dalam salji tebal.

Menurut pegawai kerajaan 17 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam salji sejak 17 Disember lalu.

Penyiar tempatan, NHK melaporkan antara yang terkorban termasuk seorang lelaki yang terjatuh dari bumbung ketika membersihkan salji dan seorang wanita ditemui mati kerana disyaki mengalami keracunan karbon monoksida di dalam kereta.

Di Hokkaido, berpuluh-puluh ribu rumah terputus bekalan elektrik sejak beberapa hari kebelakangan ini kerana salji memusnahkan talian elektrik, walaupun kebanyakan sambungan kini berjaya dipulihkan.

Salji lebat dijangka berkurangan mulai hari ini. – AFP, 26 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen