BANJIR Hari Natal di Filipina memaksa pemindahan hampir 46,000 orang penduduk, kata pegawai pertahanan awam hari ini.
Dua orang disahkan maut dan sembilan lagi masih hilang selepas hujan lebat melanda wilayah selatan negara itu, Mindanao, kata pegawai.
Bencana itu turut menjejaskan sambutan Hari Natal di negara majoriti penduduknya beragama Katolik, perayaan yang dianggap terpenting.
“Air naik melebihi paras dada di beberapa kawasan, tetapi hari ini hujan sudah mula reda,” kata pekerja pertahanan awam Robinson Lacre kepada AFP menerusi telefon dari bandar Gingoong, yang 33,000 penduduknya terpaksa dipindahkan.
Pegawai pesisir pantai turut berkata mereka menyelamatkan berpuluh keluarga di bandar Ozamiz dan Clarin yang ditenggelami banjir.
Gambar dikeluarkan agensi pesisir pantai menunjukkan berpuluh mangsa memakai jaket keselamatan berwarna oren termasuk bayi diselamatkan daripada rumah mereka yang tenggelam.
Dua kematian dilaporkan di bandar Jimenez.
Kawasan tengah dan selatan Filipina dilanda cuaca buruk ketika negara kerap dilanda bencana alam dengan penduduk berjumlah 110 juta orang itu memulakan cuti panjang Hari Natal.
Jutaan orang pulang ke kampung untuk meraikan perayaan itu.
Agensi pesisir pantai juga berkata angin kuat dan ombak besar menenggelamkan bot nelayan di pulau Leyte. Dua anak kapal maut dan enam lagi berjaya diselamatkan.
Filipina berada dalam senarai negara paling berisiko terjejas teruk kerana perubahan iklim dunia.
Ahli sains memberi amaran yang ribut kini menjadi lebih ganas kerana suhu dunia yang semakin meningkat. – AFP, 26 Disember, 2022.
Komen