Pelakon komedi Bill Cosby dibicarakan tuduhan jenayah seksual


Jika disabitkan bersalah, pelakon komedi terkenal Bill Cosby berdepan hukuman penjara minimum 10 tahun dan denda AS$25,000. – Gambar AFP, 2 Jun, 2017.

BERDEKAD lamanya pelakon komedi Bill Cosby menjadi “Bapa Amerika”, disayangi jutaan orang kerana wataknya sebagai doktor yang mesra dan bapa yang baik hati dalam sitkom TV “The Cosby Show”.

Pada Isnin, Cosby, 79, mula dibicarakan atas tuduhan melakukan serangan tidak senonoh, didakwa memberi dadah dan menyerang secara seksual seorang bekas pengarah universiti bola keranjang di rumahnya di Philadelphia, 13 tahun lalu.

Kira-kira 60 wanita tampil kepada umum menuduh Cosby melakukan jenayah seksual selama empat dekad – mencemari reputasinya, mengakhiri kariernya dan menguburkan kegemilangan seorang pelakon yang pernah memecahkan sempadan perkauman.

Dalam tuduhan itu, wanita berkenaan berkata pelawak kulit hitam yang pertama di Amerika itu memberikan mereka sedatif dan alkohol, menyebabkan mereka tidak mampu melawan perbuatannya.

Tetapi perbicaraan di Norristown, Pennsylvania mungkin satu-satunya kes jenayah dikenakan terhadap Cosby, bekas penghibur Amerika paling popular, memandangkan kebanyakan tuduhan lain berlaku terlalu lama dan tidak boleh lagi didakwa.

Seramai 12 juri di mahkamah daerah Montgomery akan memutuskan sama ada Cosby bersalah atau tidak dalam perbicaraan yang dijangka berlangsung dua minggu.

Jika disabitkan bersalah, dia berdepan hukuman penjara minimum 10 tahun dan denda AS$25,000.

Pendakwanya ialah Andrea Constand, 44, yang pada masa itu ialah pengarah operasi bola keranjang di University Temple, alma mater Cosby.

Cosby berkhidmat sebagai lembaga pemegang amanah universiti itu hingga meletakkan jawatan susulan skandal itu pada 2014.

Constand mendakwa Cosby beberapa kali memberinya pil dan alkohol, dan menyerangnya secara seksual ketika dia ke rumah pelawak itu pada awal 2004 untuk membincangkan rancangan berpindah ke Kanada dan bertukar karier. – AFP, 2 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen