Kumpulan hak kata Maghribi tak adil hukum pendatang terlibat tragedi Melilla


Sekurang-kurangnya 23 maut dalam cubaan melintasi sempadan darat Afrika dan Kesatuan Eropah di Melilla, Maghribi. – Gambar AFP, 26 Disember, 2022.

SEBUAH kumpulan hak asasi Maghribi pada Sabru mengecam hukuman “tidak adil” dijatuhkan kepada pendatang yang terlibat dalam cubaan memasuki kawasan Sepanyol menerusi Melilla, yang menyebabkan 23 orang maut.

Sekitar 2,000 orang, kebanyakannya warga Sudan, menyerbu kawasan itu pada 24 Jun dalam cubaan memasuki wilayah Sepanyol dengan melintasi salah satu daripada dua sempadan darat Kesatuan Eropah dengan Afrika.

Maghribi sudah menjatuhkan hukuman kepada berpuluh orang pendatang dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun atas dakwaan kemasukan haram dan keganasan terhadap pegawai penguatkuasa.

“Hukuman itu sangat berat dan tidak adil,” kata Souad Lazreg, ahli Persatuan Hak Asasi Maghribi (AMDH) pada Sabtu ketika membentangkan laporan perbicaraan pendatang berkenaan.

Peguam Khalid Ameza, yang mewakili sebilangan pendatang itu, berkata dokumen mahkamah “termasuk pengakuan yang mereka dinafikan hak perundangan. Walaupun begitu, mereka diberikan hukuman sangat berat.”

Penghakiman juga kurang “logik dan hujah menyakinkan” untuk menyokongnya, tambah peguam itu lagi.

Dalam kes pendatang dituduh melakukan keganasan terhadap anggota keselamatan atau merosakkan harta awam, “anggota keselamatan dalam kes itu tidak dikenal pasti” kata Ameza pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook.

Kematian dalam tragedi itu adalah yang tertinggi melibatkan cubaan melintasi sempadan.

Pihak berkuasa Maghribi melaporkan 23 kematian manakala AMDH melaporkan 27 kematian.

Manakala menurut kumpulan hak Amnesty International dan pakar antarabangsa, sekurang-kurangnya 37 orang maut.

Melilla dan Cueta, dua kawasan yang menjadi tarikan mereka yang mahu melintasi sempadan bagi melarikan diri daripada kemiskinan melanda rantau itu.

Kerajaan Maghribi dan Sepanyol bertegas yang tragedi itu berlaku kerana kesalahan pendatang dengan Rabat berkata ada pendatang maut kerana terjatuh ketika cuba melintasi pagar keselamatan, ada juga yang mati dipijak pendatang lain.

Pendakwa raya Sepanyol pada Jumaat menutup siasatan kes itu, berkata siasatan mereka mendapati tiada unsur jenayah dilakukan pasukan keselamatan Sepanyol. – AFP, 26 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen