Ahli Parlimen Swiss kemuka usul pulang RM430 juta dana 1MDB


Amin Iskandar

PARLIMEN Switzerland pada Selasa depan akan membincangkan usul untuk memulangkan dana RM430 juta yang dibekukan berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Baru-baru ini kerajaan Switzerland dilaporkan mahu menuntut CHF104 juta (RM430 juta) wang dana berkaitan 1MDB yang dirampas daripada beberapa bank kerana “tiada pihak yang menuntut dana tersebut dalam tempoh yang diberikan”.

“Walaupun begitu, ahli-ahli Parlimen Switzerland yang menyokong inisiatif ini akan mengemukakan satu usul di Parlimen negara itu untuk memulangkan sebahagian daripada dana tersebut kepada negara asalnya,” kata Pemangku Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman pada sidang media di Ibu Pejabat Bersih bersama Pusat C4 di Petaling Jaya hari ini.

Usul itu dinamakan “Repatriation of confiscated corruption funds to The robbed populations”.

Menurut akhbar Tages Anzeige yang berpangkalan di Zurich baru-baru ini, kerajaan Switzerland dibenarkan untuk menuntut keuntungan yang dijana secara haram.

Akhbar itu juga memetik Menteri Kewangan Ueli Maurer sebagai berkata, dana berkenaan disalurkan ke perbendaharaan persekutuan memandangkan tidak ada pihak yang menuntutnya.

Shahrul berkata, Inisiatif Masyarakat Sivil Malaysia yang diumumkan pada 15 November 2017 lalu mendesak Jabatan Kementerian Kewangan Persekutuan Switzerland dan badan Pengawalseliaan Kewangan Switzerland (FINMA) untuk memulangkan dana yang telah dibekukan melalui satu tabung amanah bebas.

“Kami, Bersih 2.0 dan Pusat C4 mencadangkan supaya dana tersebut disalurkan kembali ke Malaysia melalui satu tabung amanah seperti Yayasan Bota di Kazakhstan.

“Sekiranya dana tersebut berjaya dikembalikan, dana tersebut harus diurus oleh satu badan bebas yang terdiri daripada wakil kumpulan yang berlainan,” katanya.

Menurut Shahrul, sekiranya tidak berlaku perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, adalah penting dana tersebut tidak di pulangkan kepada “pesalah-pesalah skandal 1MDB”.

“Pengurusan yayasan itu harus menggunakan proses yang telus, serta bertanggungjawab kepada masyarakat awam berkenaan cara dana tersebut disalurkan semula kepada rakyat Malaysia,” katanya.– 9 Mac, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • dalam siasatan mereka tak ada satu nama pun yang datang dari rakyat malaysia terutama mereka yang terlibat dan bekerja dengan 1mdb. mahupun najib. kalau ada dah lama dah najib tu kena tarik. doj pun tak ada namakan najib dalam siasatan mereka. ape cerita?

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan