SEBELAS negara menandatangani versi kecil perjanjian perdagangan Kerjasama Trans Pasifik (TPP) pagi ini, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terus berikrar meneruskan perancangan untuk melaksanakan tarif ke atas import besi serta aluminium.
TPP itu, yang akan mewakili 40% daripada ekonomi dunia dan hampir satu bahagian perdagangannya, dihentikan selepas Trump mengambil pendekatan untuk memberi keutamaan kepada agenda “Rakyat Amerika Dulu”.
Tetapi perjanjian yang dirombak itu dan dikenali sebagai Perjanjian Kerjasama Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) masih lagi dilihat sebagai pencapaian penting dan kejayaan bagi keterbukaan, kata penyokongnya pada majlis menandatangani perjanjian itu di Santiago, Chile.
“Kami bangga dapat melengkapkan proses ini, memberikan mesej kuat kepada masyarakat antarabangsa bahawa pasaran terbuka, integrasi ekonomi dan kerjasama antarabangsa alat terbaik dalam mencipta peluang dan kemakmuran ekonomi,” kata Presiden Chile Michelle Bachelet.
Pakatan itu termasuk Australia, Brunei, Kanada, Chile, Japan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam, mewakili 13.5% daripada ekonomi global.
11 negara itu membentuk pasaran 500 juta orang, lebih besar berbanding Kesatuan Eropah.
Perjanjian itu ditandatangani sejurus sebelum Trump mengenakan tarif tinggi terhadap besi dan aluminium import, satu langkah yang dianggap oleh negara lain dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mampu mencetuskan perang perdagangan global.
Pentadbiran bekas presiden Barack Obama mendesak pelaksanaan TPP untuk menangani perkembangan kuasa komersial China. Ia bukan saja memotong tarif tetapi mensyaratkan ahli untuk mematuhi standard pematuhan paras tinggi dalam undang-undang buruh dan perlindungan alam sekitar.
Fernando Estenssoro, dari Universiti Santiago, Chile berkata perjanjian pakatan itu “sejenis bunuh diri” kepada AS. – AFP, 9 Mac, 2018.
Komen