Barat sentiasa mahu pecah belah Rusia, kata Putin


Presiden Rusia Vladimir Putin menegaskan pencerobohan ke atas Ukraine adalah wajar bagi melindungi kepentingan negara. – Gambar AFP, 26 Disember, 2022.

PRESIDEN Rusia Vladimir Putin semalam mengecam Barat kerana cuba memecahbelahkan negara itu.

Dalam satu  wawancara yang disiarkan secara langsung di televisyen semalam, Putin berkata Barat sentiasa cuba untuk memecah belah dan menakluk Rusia.

Beliau juga berkata pencerobohan ke atas Ukraine bertujuan untuk “menyatukan rakyat Rusia”.

Putin menggunakan konsep ‘sejarah Rusia’ bagi menjelaskan kewajaran serangan 10 bulan ke atas Ukraine, bahawa negara itu dan Rusia dahulunya adalah rakyat yang bersatu.

“Lawan geopolitik kami sentiasa mahu untuk memecah belah Rusia, Rusia yang bersejarah. Mereka sentiasa akan berbuat demikian.

“Tetapi matlamat kami berbeza, kami mahu menyatukan rakyat Rusia,” katanya.

Putin menegaskan kerajaannya mengambil tindakan yang tepat dan wajar bagi melindungi kepentingan negara.

Presiden itu turut mengulangi kesediaan Moscow untuk berunding dengan semua pihak untuk menamatkan kepada konflik dengan Ukraine.

Diminta mengulas mengenai tawaran bantuan sistem pertahanan Amerika Syarikat (AS) kepada Ukraine, Putin berkata, “Sudah tentu kami akan memusnahkannya, 100 peratus!” 

Putin merujuk kepada pengumuman Presiden AS Joe Biden minggu lalu, berkenaan bantuan melibatkan sistem pertahanan udara canggih Patriot yang mampu memintas peluru berpandu krus dan peluru berpandu balistik jarak dekat. – AFP, 26 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen