3 lagi mayat kelasi kapal perang Thailand karam ditemui


HTMS Sukhothai karam Ahad lalu, kira-kira 37 kilometer dari pantai tenggara Thailand, dengan operasi menyelamat secara besar-besaran berjaya menarik 76 anak kapal yang hidup dari perairan bergelora. – Gambar AFP, 25 Disember, 2022.

TIGA lagi mayat kelasi kapal perang jenis korvet, HTMS Sukhothai yang karam di Teluk Thailand seminggu lalu ditemui, demikian menurut tentera laut negara itu, hari ini.

HTMS Sukhothai karam Ahad lalu, kira-kira 37 kilometer dari pantai tenggara Thailand, dengan operasi menyelamat secara besar-besaran berjaya menarik 76 anak kapal yang hidup dari perairan bergelora.

“Kami menemui tiga lagi mayat yang akan dibawa menjalani proses pengecaman dan bedah siasat, ia akan mengambil masa kira-kira tiga atau empat hari,” kata jurucakap tentera laut, Pogkrong Montradpalin.

Beliau berkata kawasan sekitar kapal dan dua lagi yang karam pada hari itu diisytiharkan sebagai “zon pencegahan bencana” sekiranya berlaku kebocoran minyak.

Tentera laut menambah angka kematian meningkat kepada 18 dengan satu mayat ditemui pada Sabtu disahkan sebagai kelasi kapal dan dua lagi yang ditemui, walaupun Pogkrong tidak memberikan sebarang butiran lanjut.

Menurut tentera laut Thailand, seramai 11 daripada 105 anak kapal masih hilang.

Helikopter, pesawat pengawasan tanpa pemandu dan kapal perang memantau perairan dengan harapan dapat menemukan mangsa yang terselamat.

Selasa, Laksamana Chonlathis Navanugraha menyatakan insiden itu sebagai antara tragedi paling buruk dalam sejarah tentera laut.

Kapal itu adalah antara kapal perang tentera terkecil, yang menghadapi masalah selepas sistem elektroniknya rosak.

Sukhothai ditauliahkan pada 1987 dan dibina di Amerika Syarikat (AS) oleh Syarikat Tacoma Boatbuilding yang kini tidak beroperasi, menurut Institut Tentera Laut AS. – AFP, 25 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen