CHINA tidak akan lagi mengumumkan angka korban dan kes harian Covid-19, menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) hari ini, sekali gus menamatkan amalan yang dibuat sejak awal 2020.
Bandar-bandar di seluruh China bergelut membendung jangkitan yang semakin meningkat, hingga mengakibatkan bekalan ubat berkurangan dan penggunaan wad hospital melebihi kapasiti.
Perkara ini berlaku selepas Beijing tergesa-gesa memansuhkan strategi sifar Covid-19 republik itu.
“Mulai hari ini, kami tidak akan lagi mengumumkan maklumat harian mengenai wabak itu,” kata NHC, tanpa memberi penjelasan lanjut mengenai perubahan dasarnya.
Bagaimanapun, penamatan perintah ujian yang ketat menjadikan beban kes hampir mustahil untuk dikesan, sementara pihak berkuasa mengecilkan definisi perubatan kematian akibat Covid-19 dalam satu langkah yang dikatakan pakar akan menyekat jumlah korban dikaitkan dengan virus itu.
“Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CDC) hanya akan menerbitkan maklumat mengenai wabak itu untuk tujuan rujukan dan penyelidikan,” kata NHC, tanpa menyatakan jenis atau kekerapan data yang akan dikeluarkan CDC.
Rakyat China yang melihat percanggahan besar antara statistik rasmi dan jangkitan dalam keluarga dan kalangan sosial mereka, menyambut keputusan itu secara sinis.
“Akhirnya, mereka bangkit dan sedar mereka tidak boleh menipu orang lagi,” tulis pengguna di platform media sosial Weibo.
Pengguna lain berkata: “Ini adalah pejabat pembuatan statistik palsu terbaik dan terbesar di negara ini.”
Pekerja krematorium yang ditemu bual AFP melaporkan jumlah mayat yang luar biasa tinggi.
“Adakah pekerja krematorium di sini? Adakah anda melebihi kapasiti? Bolehkah anda bercakap mengenainya?” soal seorang lagi pengguna Weibo.
Walaupun media kerajaan sebahagian besarnya tidak menghiraukan lonjakan jumlah mayat yang tiba di krematorium, namun mereka sedikit sebanyak, berkata hospital mengalami tekanan akibat kemasukan pesakit dan kekurangan bekalan ubat anti-demam. – AFP, 25 Disember, 2022.
Komen