KJ umum tukar bahagian Umno ke Sungai Buloh


Bekas menteri kesihatan yang kalah pada PRU15 di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin berkata beliau akan meneruskan perjuangan di Sungai Buloh sehingga menang dalam pilihan raya akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2022.

KHAIRY Jamaluddin mengumumkan pertukaran keahlian Umnonya berpindah dari bahagian Rembau ke Sungai Buloh, kawasan pilihan raya yang ditandinginya pada pilihan raya umum yang lepas.

Beliau mengumumkan pertukaran itu pada satu majlis bersama penyokong Barisan Nasional Pusat Daerah Mengundi Saujana Utama di Sungai Buloh, yang rakaman videonya dimuat naik di TikTok semalam.

Khairy menyifatkan perjuangannya di Sungai Buloh, yang bermula pada pilihan raya umum lepas, sebagai “tugas yang belum selesai”.

“Saya tidak suka tinggalkan sesuatu yang tidak sampai kesudahannya, sebab saya memang yang macam itulah, agak ‘perfectionist’ sikit. Kalau dah kalah itu mesti buat sampai menang.

“Saya tidak suka tinggalkan begitu sahaja dan saya rasa tidak adil kepada tuan-tuan dan puan-puan, saya datang ke sini sebagai calon bidan terjun berprofil tinggi, bila tidak menang lepas itu terus cabut cari tempat lain, tidak,” katanya, yang sebelum ini tiga penggal menyandang kerusi Parlimen Rembau sejak 2008.

Khairy berpindah bertanding Parlimen Sungai Buloh selepas Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dicalonkan bertanding di Parlimen Rembau.

Khairy sebelum ini timbalan ketua Umno Rembau.

Menurut Khairy, beliau sudah membincangkan keputusan perpindahannya itu bersama pimpinan bahagian iaitu ketua Umno Sungai Buloh Megat Firdouz Megat Junid dan timbalan Harison Hassan.

“Mereka kata silalah datang. Soal pemilihan (bahagian) nanti kita bincanglah adik-beradik macam mana nak buat.

“Yang penting saya datang bukan hanya hendak bertanding… kalah, terus hilangkan diri. Saya kekal di sini sehinggalah kita menang Parlimen Sungai Buloh,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Khairy  kalah 2,693 undi kepada calon Pakatan Harapan (PH) R Ramanan dalam pertandingan tujuh penjuru bersaing di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Sungai Buloh pertama kali dipertandingkan pada 2018 selepas persempadan semula yang mewujudkan kawasan pilihan raya itu daripada kawasan pilihan raya Subang dan Kuala Selangor.

Sungai Buloh dimenangi pada 2018 oleh PH melalui R Sivarasa. – 25 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • sepatutnya station kt kawasan PN ler

    Dimuat naik 1 tahun yang lalu oleh Salehuddin Zakaria · Ulasan