Tikus makan ayam goreng, KKM arah tutup restoran 2 minggu


Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham berkata pihaknya telah mengarahkan sebuah restoran di Pandan Indah, Kuala Lumpur tutup selama dua minggu selepas tular video memaparkan seekor tikus menjamah makanan di kedai makan tersebut. – Gambar tagkap layar video tular, 25 Disember, 2022.

SEBUAH restoran di Pandan Indah, Kuala Lumpur diarah tutup dua minggu selepas tular video memaparkan seekor tikus sedang menjamah ayam goreng di dalam kaunter pemanas dua hari lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata restoran itu diarah tutup berikutan beberapa pelanggaran berkait dengan keselamatan makanan dan kebersihan.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan siasatan berhubung video yang viral dan mengenal pasti lokasi premis berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan makanan premis tersebut tidak memuaskan.

“Sehubungan itu, tindakan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan arahan penutupan selama 14 hari telah dikeluarkan.

“Di samping itu, sebanyak 6 notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 23 Disember, tular di Twitter video yang menunjukkan seekor tikus sedang menjamah ayam goreng dalam kaunter paparan pemanasan makanan di sebuah restoran.

Klip itu telah mendapat 6.9 juta tontonan dan telah ditweet semula oleh Kementerian Kesihatan yang meminta pengguna memberikan maklumat dengan segera. – 25 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen