Pele 'masih berjuang', kata anak


Anak perempuan Pele berkata bapanya akan menghabiskan Hari Natal di hospital selepas doktor memaklumkan legenda bola sepak Brazil itu memerlukan 'penjagaan yang lebih teliti'. – Gambar AFP, 25 Disember, 2022.

ANAK perempuan kepada legenda bola sepak Brazil Pele berkata bapanya “masih berjuang” melawan kanser di hospital Sao Paulo, lapor Xinhua.

Kely Cristina Nascimento menyiarkan foto dia memeluk ayahnya di Instagram dan hanya memaparkan sebahagian wajahnya.

“Kami masih di sini, berjuang dan percaya. Satu malam lagi bersama,” kata Nascimento menerusi mesej yang mengiringi foto itu.

Pele dimasukkan ke hospital Albert Einstein akhir bulan lalu bagi merawat jangkitan pernafasan dan melakukan penilaian semula kemoterapi.

Pada Rabu, Nascimento mengumumkan bapanya akan menghabiskan Hari Natal di hospital selepas doktor memaklumkan bahawa Pele memerlukan “penjagaan yang lebih teliti”.

Antara mereka yang menghantar mesej sokongan kepada Pele sejak beberapa minggu kebelakangan ini ialah penyerang Perancis Kylian Mbappe, yang menggesa pengikutnya untuk “berdoa untuk Pele”.

Catatan terbaharu Pele di Instagram adalah selepas kemenangan Argentina menentang Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia Ahad lalu, di mana beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan Amerika Selatan itu dan Lionel Messi untuk kemenangan mereka.

Dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat, Pele merupakan satu-satunya pemain yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali dan menjulang trofi itu pada 1958, 1962 dan 1970.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau mengalami beberapa masalah kesihatan, termasuk berkaitan tulang belakang, pinggul, lutut dan buah pinggang. – Bernama, 25 Disember, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen