Betulkah cara pandang kita menilai kemiskinan?


SEMALAM Parlimen menolak usul untuk membahaskan laporan UNICEF bertajuk “Kanak-kanak Pinggiran”, yang mendedahkan masalah kanak-kanak di flat kos rendah di sekitar Kuala Lumpur.

Ketika negara kita sedang berbangga dengan Kuala Lumpur yang dianggap sebagai kota yang memiliki gaji purata setanding dengan bandar-bandar maju di dunia, masih ada kumpulan masyarakat yang tidak menikmati “status bandar elit” ini.

Saya percaya kerajaan sering menggunakan indikator yang kurang tepat dalam menilai kelompok miskin atau miskin tegar.

Jika angka kosong digunakan untuk merujuk kadar kemiskinan di Kuala Lumpur, bagaimana mungkin wujud kelompok warga rumah flat kos rendah yang hidup dalam “kegelapan”?

Kita tidak boleh menilai kebahagiaan atau keadaan hidup orang miskin dengan menggunakan prestasi orang kaya/elit sebagai rujukan. Kita boleh berkata kadar gaji purata negara ini tinggi, namun jika jurang kesaksamaan golongan kaya dan miskin terlalu besar, ia sepatutnya tidak boleh dibanggakan. Bahkan kita wajar malu kerana sering “mencabuli” hak orang miskin.

Negara kaya sebab ramai obes

Dua hari lepas saya membaca kenyataan seorang ahli Parlimen yang mengatakan rakyat tidak hidup susah kerana masih ramai menghadapi masalah obesiti akibat terlebih makan. Saya tertanya-tanya apakah maksud di sebalik ungkapan ahli Parlimen itu, adakah dia sememangnya tidak mempunyai asas ekonomi? Gimik politik? Tapi saya cenderung berpandangan dia kurang berpengalaman melihat keadaan orang miskin.

Nasib orang miskin selalunya ingin dibela oleh mereka yang kaya, terutamanya ahli politik. Malangnya, dalam kalangan yang memperjuangkan nasib golongan terpinggir ini, lebih ramai menggunakan orang miskin sebagai “objek” yang boleh digunakan ketika kempen pilihan raya berbanding benar-benar ingin mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

Sifirnya, sesiapa yang tidak pernah merasai kehidupan yang susah, sering kali gagal memahami keperluan dan bantuan yang diperlukan oleh golongan ini.

Besar harapan saya supaya ahli-ahli politik yang diberikan mandat tidak sesuka hati mengeluarkan kenyataan yang tidak menggambarkan imej pembela rakyat.

Mengaitkan kesenangan hidup rakyat dengan obesiti bukanlah kenyataan dangkal pertama; sebelum ini kesenangan hidup rakyat dikaitkan dengan kekerapan melancong atau perbandingan harga barang dengan di Singapura. Padahal kadar pendapatan di Singapura jauh meninggalkan kita. Sekali-sekala saya rasa cukup aneh, bagaimana kita boleh diwakili oleh orang seperti ini?

Jangan gunakan statistik untuk tutup realiti

Statistik penting untuk membantu kita menganalisis data dan membuat kesimpulan terhadap kajian yang dilakukan. Kerajaan sering menggunakan statistik yang sedap didengar, tapi pada realitinya tidak seindah statistik yang diberikan.

Saya mengambil contoh Kadar Kemiskinan Kebangsaan yang dikatakan berada pada 0.4%. Walaupun Kadar Kemiskinan Kebangsaan menghampiri angka sifar, namun menurut laporan UNICEF 34% Orang Asli di Semenanjung Malaysia masih miskin dan 20.2% Bumiputera Sabah masih tinggal dalam kemiskinan.

Ini memberi gambaran kepada kita kaedah yang diguna untuk mengeluarkan statistik ini perlu disemak agar dapat memberi gambaran yang lebih jelas dan tepat. Hatta kadar KDNK yang tinggi pun tidak bermaksud rakyat yang miskin akan hidup lebih sejahtera.

Jika kita ingin bercakap tentang isu lain, boleh sahaja kita mengambil contoh isu pengangguran di Malaysia. Walaupun kita sering diberitahu pengangguran di Malaysia masih kekal di bawah 4%, namun pada realitinya masalah pekerjaan semakin menekan rakyat. Graduan yang baru keluar daripada universiti terutamanya, rata-rata mengaku berhadapan masalah sukar mendapatkan pekerjaan.

Saya berpandangan ramai yang ragu dengan statistik yang diberikan jika hakikatnya statistik tersebut dirasakan tidak selari dengan realiti. Sekali lagi, saya fikir perlu ada lebih banyak kajian berkenaan kaedah-kaedah penghasilan statistik yang dikeluarkan. Jika perlu libatkan lebih ramai pihak dan akademia agar dapat memberikan keputusan yang lebih menyeluruh dan berwibawa.

Ahli akademik tidak boleh bisu

Saya cukup hairan melihat kebisuan yang sering berlaku dalam kalangan ahli akademik. Kebanyakan mereka lebih gemar untuk berdiam diri daripada memberi tekanan kepada sesuatu isu yang mereka lihat kebenarannya.

Berapa ramai sarjana ekonomi yang ada di universiti kita?

Saya pasti kebanyakan sarjana ini mengetahui kita menghadapi beberapa krisis yang memerlukan tindakan segara daripada pemerintah, namun sesetengah mereka lebih gemar memilih untuk berdiam diri.

Kebanyakan mereka bimbang akan kehilangan jawatan sekiranya mengeluarkan pandangan “sensitif”. Saya fikir ini bukanlah budaya yang sihat, ahli akademik wajar diberikan kebebasan dalam mengeluarkan pandangan.

Penglibatan ahli akademik vokal dalam penghasilan data-data penting negara akan membantu memberikan hasil yang lebih berkualiti. Mengkritik beberapa polisi dan dasar pemerintah tidak bermaksud kita membenci kerajaan; kebanyakan kita mahu kerajaan yang dipilih menjadi lebih baik untuk kesejahteraan rakyat. – 9 Mac, 2018.

* Rahman Imuda merupakan penulis buku dan aktivis mahasiswa.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen