Zelensky bidas Rusia selepas serangan Kherson 


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky membidas Rusia dan menyifatkan serangan ke atas Kherson sebagai keganasan mutlak.– Gambar EPA, 25 Disember, 2022.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky membidas keganasan Rusia selepas serangan yang menyebabkan 10 maut dan 55 cedera di bandar Kherson pada Sabtu.

Beliau turut menggesa rakan senegaranya untuk terus bertahan pada malam ambang Krismas. 

Sejak permulaan pencerobohan Rusia, serangan berlaku di sekitar pasar yang sibuk dan kebakaran berlaku di bandar pelabuhan selatan negara itu yang ditawan semula oleh tentera Kyiv November lalu. 

Wartawan AFP di tempat kejadian melihat beberapa mayat bergelimpangan di atas jalan, termasuk seorang lelaki terbunuh di dalam keretanya.
 
Anggota penyelamat dan pegawai polis dilihat menenangkan seorang lelaki yang menangis di sebelah seorang wanita yang tidak bernyawa.

Terdapat penduduk yang cedera parah berbaring di atas tanah, anggota pasukan penyelamat merawat mereka.

Walaupun Rusia berundur dari bandar, Kherson kekal dalam jarak serangan Moscow dan di bawah ancaman berterusan.

Zelensky menerusi Telegram membidas serangan itu dan menyifatkannya sebagai “keganasan… membunuh demi ugutan dan keseronokan”.

“Ia adalah kehidupan sebenar Ukraine… Dunia mesti melihat dan memahami kejahatan mutlak yang kita sedang tentang,” katanya.

Ketua wilayah Kherson yang dilantik Rusia, Vladimir Saldo, berkata di Telegram bahawa serangan itu adalah “provokasi yang menjijikkan” oleh Ukraine yang digunakan untuk menyalahkan Rusia.

Gabenor wilayah Yaroslav Yanushevych melaporkan menerusi Telegram bahawa 10 orang telah mati dan 55 cedera dalam serangan ke atas Kherson, dengan 18 dalam keadaan serius.

Antara mangsa adalah seorang peniaga daging bernama Lesha yang telah bekerja di pasar selama bertahun-tahun, menurut penduduk berusia 43 tahun, Oleksandr Kudryashov.

“Dia keluar untuk merokok, dia berdiri di sini. Kami tarik mayatnya, dia sudah mati,” kata Kudryashov kepada AFP sambil menunjuk ke arah tangga berdarah.

Enam puluh enam kereta terbakar di kawasan perumahan di bandar itu akibat serangan berkenaan, kata perkhidmatan kecemasan.

Kebakaran telah dipadamkan selepas 40 minit tetapi jumlah yang maut dan cedera masih meningkat, kata mereka di Telegram. – AFP, 25 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen