6 lagi mayat anak kapal perang Thailand ditemui


HTMS Sukhothai karam Ahad lalu kira-kira 37km dari pantai tenggara Thailand, dengan operasi menyelamat besar-besaran berjaya menarik 76 anak kapal yang masih hidup. – Gambar AFP, 24 Disember, 2022.

ENAM lagi mayat anak kapal perang HTMS Sukhothai ditemukan di laut selepas ia karam di Teluk Thailand enam hari lalu, lapor tentera laut negara itu hari ini.

HTMS Sukhothai karam Ahad lalu kira-kira 37km dari pantai tenggara Thailand, dengan operasi menyelamat besar-besaran berjaya menarik 76 anak kapal yang masih hidup.

Seramai 17 daripada 105 anak kapal masih hilang.

“Hari ini, kami menemui enam mayat,” kata tentera laut dalam satu kenyataan.

Terdapat “bukti awal” mayat yang ditemui hari ini adalah anak kapal Sukhothai, kata kenyataan itu, sambil menambah ujian DNA akan dilakukan.

Enam mayat lain yang ditemui pada minggu lalu sudah dikenal pasti sebagai anak kapal Sukhothai.

Helikopter, pesawat pengawasan tanpa pemandu dan kapal perang telah memantau perairan dengan harapan dapat mencari mangsa yang terselamat.

Menurut tentera laut, pencarian itu juga “mendapat sokongan daripada pelbagai agensi tempatan”, sukarelawan dan sektor swasta.

Selasa lalu, Laksamana Chonlathis Navanugraha berkata insiden itu sebagai “salah satu tragedi terburuk” dalam sejarah tentera laut.

Kapal jenis korvet itu – antara kapal perang tentera terkecil – mengalami masalah teknikal selepas sistem elektroniknya rosak.

Sukhothai ditauliahkan pada 1987 dan dibina di Amerika Syarikat oleh Syarikat Tacoma Boatbuilding yang kini tidak beroperasi, menurut Institut Tentera Laut AS. – AFP, 24 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen