Anwar gesa rakyat pelihara keamanan, keharmonian dan perpaduan


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata mesej atau seruan yang berbaur kebencian dan cubaan untuk mengapi-apikan perbezaan mesti dibenam dengan sikap kasih sayang dan rahmah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2022.

SETIAP rakyat mesti memainkan peranan yang ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar dalam perutusan Hari Krismas berkata adalah menjadi kewajiban setiap rakyat Malaysia untuk mengeratkan silaturahim antara rakyat dengan mengucapkan kata-kata antara satu sama lain.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan dan kewajiban setiap kita untuk mengambil kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahim antara rakyat dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka.

“Membenih dan menyemai budaya perpaduan tidak hanya terletak di bahu pemerintah, tetapi setiap rakyat mesti memainkan peranan yang ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu,” kata ahli Parlimen Tambun itu di Facebook.

Tambahnya, mesej atau seruan yang berbaur kebencian dan cubaan untuk mengapi-apikan perbezaan mesti dibenam dengan sikap kasih sayang dan rahmah.

Beliau mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut Kristian yang menyambutnya esok.

“Semoga sambutan Krismas tahun ini lebih meriah serta dapat membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada negara Malaysia yang terbilang dan rakyatnya yang cintakan keadilan,” katanya. – 24 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen